Hiburan

Nak ada skandal, setaraf artis Hollywood?

BARU setahun jagung dalam mencipta nama sebagai artis atau selebirit dalam industri hiburan tempatan, sudah menunjukkan belang dengan menjalin hubungan sulit atau dalam istilah lainnya, ada skandal.

Minggu lepas bertubi-tubi kisah si polan bernama Syuk diberitakan di media sosial dan portal berita tentang skandal.

Wah! Besar dan gempak sekali bunyinya .. Syuk ada skandal. Ala-ala artis Barat, Hollywood yang sudah sangat popular dan ada skandal.

Banggakah Syuk dengan berita tentang dirinya? Seronokkah Syuk dengan perbuatannya menjalin hubungan sulit sedangkan di rumah ada seorang wanita bergelar isteri dan dua orang zuriat hasil perkahwinannya.

Artis menjalin hubungan sulit atau ada skandal bukanlah fenomena baru cuma apa yang dilalui oleh Syuk adalah satu kejutan budaya.

Maklumlah, daripada tiada apa-apa, orang tidak mengenali dan menjadi dikenali ramai, masakan Syuk kuat untuk melawan godaan daripada wanita lain di luar sana?

Krisis dalam rumahtangga adalah perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami dan isteri.

Sebagai suami Syuk sepatutnya bijak menangani apa juga masalah rumahtangganya dan orang luar tidak harus mencampuri urusan rumahtangga mereka.

Untuk mendapatkan nasihat atau ketenangan, mengapa perlu Syuk berpaling kepada kaum Hawa sedangkan ramai kaunselor dan kaum Adam yang boleh menjadi tempat pengadu Syuk.

Sebelum Syuk buat perangai, artis-artis lelaki terdahulu juga pernah buat perangai yang sama. Cuba ada skandal, cuba menjalin hubungan sulit.

Dalam kalangan wartawan hiburan tempatan khususnya wartawan senior, mereka tahu artis yang ada skandal tetapi memilih untuk merahsiakannya demi aib dan maruah artis berkenaan.

Ini termasuk kalangan produser yang hampir-hampir terjebak dengan aktres popular suatu ketika dahulu.. Manja-manjanya, liuk lentuknya.. amat menggoda tetapi mujur produser berkenaan cepat tersedar dan tidak terjebak dengan skandal.

Kalau tidak, rumah bernilai jutaan ringgit itu ditinggal sepi oleh isteri dan anak-anak… Dan hari ini, anak produser itu juga terkena gossip ada hubungan dengan wanita lain.

Sebagai artis atau selebriti, dunia yang ditempuhi oleh kalian bukanlah perjalanan yang indah semata-mata sebaliknya ia penuh dengan onak, ranjau dan duri.

Pilihan ada di tangan anda, di tangan Syuk sendiri. Apakah sudah cermin diri dan berpuas hati dengan diri sendiri, perangai dan sebagainya sehinggakan mahu menjalin hubungan sulit di luar sana?

Tepuk dada, tanya selera. Jawapan ada di tangan sendiri, pilihan ada di tangan sendiri.

Mengapa tidak mengikut contoh baik oleh rakan-rakan artis yang jauh lebih berjaya dalam karier seni mereka dan dalam masa yang sama, menghindari perbuatan yang mengundang kecaman?

Jadilah selebiriti yang bijak lagi cerdik. Jangan diikutkan nafsu kerana itu akan membakar diri, karier dan akhirnya, ke kiri tidak ketengah pun tidak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button