Najib geli Kit Siang tulis tentang dirinya setiap hari sejak kalah PRN Melaka
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berasa geli dengan tindakan pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang yang menulis mengenai dirinya hampir setiap hari sejak parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri Melaka.
Najib berkata, bulu romanya naik setiap kali Ahli Parlimen Iskandar Puteri itui muat naik gambar dirinya bersama-sama artikel tersebut. Ahli Parimen Pekan itu menyindir Kit Siang sama ada dirinya kini merupakan anak beliau.
“Anak Lim Kit Siang tu, Guan Eng atau Najib Razak? Kenapa pula dia tiap-tiap hari up gambar saya kat FB dia tapi langsung tak layan muka anaknya? Geli betul. Bulu roma pun naik,” katanya.
Sehari selepas Pakatan Harapan dan DAP kalah, pada 21 November, Kit Siang menerbitkan artikel bertajuk ‘Is Malacca general election the stepping stone for Najib to become the 10th Prime Minister of Malaysia?
Pada 22 November, dia menerbitkan artikel dalam bahasa Inggeris mempersoalkan kurnaian tanah dan rumah kepada Najib sebagai bekas perdana menteri dan mengaitkannya dengan 1MDB.
Kit Siang mengulangi artikel yang sama dalam bahasa Melayu pada hari yang sama tetapi berlainan waktu.
Semalam, Kit Siang menerbitkan artikel bertajuk, ‘Kesan terburuk daripada PRN Melaka adalah Najib mungkin akan menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia’ dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Terbaharu hari ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu meneruskan penulisannya bertajuk, ‘Najib Razak berharap yang beliau boleh menyusup masuk dan menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 tanpa persoalan tersebut menjadi isu tumpuan negara’.
Dalam artikel itu Kit Siang mengarapkan rasuah, negara Indonesia dan Covid-19 terhadap Najib, yang didakwanya mahu menjadi perdana menteri semula.
“Malaysia menjadi semakin korup, sementara Indonesia semakin pulih daripada amalan rasuah — sebuah trend yang akan disahkan selepas Transparency International (TI) mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 pada Januari 2022 nanti.
“Malaysia akan berdepan masalah berganda jika PRU15 diadakan tahun hadapan, dengan Najib kembali menjadi Perdana Menteri ke-10 dan dalam masa yang sama CPI pula mengeluarkan laporan TI 2021, yang bakal menandakan trend penurunan untuk Malaysia dalam perang melawan rasuah.
“Wabak Covid-19 telah menyerlahkan kelemahan Malaysia berbanding Indonesia dalam perang melawan Covid-19,” tulis Kit Siang.-SM