Auto Travel

Perlis promosi destinasi pelancongan baharu

Perlis memperkenalkan beberapa lokasi pelancongan menarik yang agak baharu diwujudkan atau dijenamakan semula dalam tempoh masa setahun dua ini.

Antaranya adalah Projek DiRaja Transformasi Kampung Berwarna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis dan Projek DiRaja Transformasi Pekan Lama Arau.

Terdapat Rumah Warisan Bandar DiRaja Arau, Pasar Terapung JPS Perlis, Kangar Street Art dan Taman Buah-Buahan Eksotik yang dulu dikenali sebagai Taman Anggur di Jalan Sungai Batu Pahat.

Di utara Perlis mengamit pelancong pula adalah Tasoh Lake Resort oleh Tasoh TasikKu, Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh, Taman Agrovet Perlis Padang Besar, Wang Kelian View Point, Bukit Chabang Mari dan Super Fruits Valley di Chuping.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah “Women In Search Of Excellence (WISE)” Siri Ke-3 berjudul ‘Pemerkasaan Wanita Dalam Industri Pelancongan’ anjuran Puspanita Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis pada pagi tadi.

Antara panel undangan dalam program berkaitan sumbangan wanita dalam industri pelancongan tersebut adalah Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Kepimpinan (LEAD), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur yang menyampaikan ucaptama, Head of
Tourism Planning Research Group (TPRG)
Dr. Nurhazliza Abdul Halim, Ketua Program
Politeknik Wilmar Bisnis Indonesia, Ibu Nekeu Novia Andriani, Pengarah GR Travel and Tours Siti Marlina Ramly, Aktivis Masyarakat, Datin Seri Dr. Zainah Othman dan Pengerusi Ayu Geo Nature Enterprise, Indara Rahayu Mohd Noor.

Majlis penutupan akan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF pada sebelah petangnya. Terdahulu, Pengerusi Puspanita PTSS Perlis, Salmi Abdullah mempersembahkan ucapan alu-aluan.

Menurut Tuanku Raja Muda, lapuran Pertubuhan Pelancongan Dunia menyatakan bahawa pada 2019, seramai 54% pekerja bidang pelancongan terdiri daripada wanita. Namun, pembabitan wanita dalam industri pelancongan banyak tertumpu dalam bidang kemahiran rendah. Kurang daripada 40% memegang jawatan pentadbiran, kurang 20% dalam bidang pengurusan dan juga ahli majlis tertinggi. Kebanyakan wanita lebih berfokus kepada bidang usahawan pelancongan berskala kecil. Kesan pandemik ini, ramai di antara mereka yang tidak mampu mengatasi ’kejutan’ ekonomi.

(Visited 517 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button