Najib akan dilantik penasihat ekonomi bertaraf menteri?
ADAKAH Ahli Parlimen Pekan akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri kepada Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Menurut laporan UtusanTV Najib disebut-sebut mungkin akan dilantik ke jawatan tersebut.
Cakap-cakap itu, menurut portal berkenaan, mula bertebaran selepas Ismail Sabri menerima kunjungan Najib di pejabatnya semalam.
Menurut Ismail Sabri, kunjungan selama satu jam oleh bekas perdana menteri itu, menyaksikan perbincangan berkaitan alam dan luar negara termasuk strategi mendepani pandemik Covid-19.
“Dato’ Sri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,” kata Ismail Sabri dalam hantaran di media sosial.
Portal berkenaan melaporkan, menurut sumber, pengumuman mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri akan dibuat tidak lama lagi.
Bagaimanapun Najib dalam hantaran di Facebooknya tidak memberi apa-apa indikasi bahawa beliau akan diberikan apa-apa jawatan dalam pentabiran Ismail Sabri.
Bekas perdana menteri yang jatuh daripada kedudukannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 itu hanya menyatakan beliau memberi pandangan mengenai langkah yang patut diambil Malaysia dalam mengukuhkan semula ekonomi negara dan cara membantu rakyat.
“Make no mistake. Terus terang saya kata. Malaysia masih berada dalam krisis. Malah akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar dari segi ekonomi, pendapatan dan kebajikan rakyat.
‘’Dari sudut makro dan secara menyeluruh, kita sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan negara jiran. Malaysia tidak lagi mempunyai daya tarikan terhadap pelabur asing serta selepas 2018.
“Dari sudut mikro dan melibatkan rakyat pula, ramai tidak ada keyakinan terhadap ekonomi kita Malah timbul kerisauan terhadap keperluan, pendapatan dan kestabilan pekerjaan masing-masing,’’ kata Najib.
Sebelum ini, parti-parti yang berada dalam kerajaan meletakkan syarat mereka bersedia menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dengan syarat tidak ada mana-mana pemimpin dalam ‘kluster mahkamah’ dilantik dalam Kabinet atau apa-apa jawatan kerajaan.
Malah parti-parti pembangkang juga dikatakan meletakkan syarat yang sama jika Ismail Sabri mahu bekerjasama dengan mereka.
Kluster mahkamah seringkali dikaitkan dengan pemimpin UMNO yang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah termasuk Najib, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa yang lain.-SM