Musa Aman yakin kemampuan Hajiji terajui Sabah
BEKAS Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yakin dengan kemapuan Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor untuk menerajui Kerajaan Negeri Sabah.
Musa berkata, beliau amat mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu yang bertugas sebagai menteri Kabinet Sabah selama bertahun-tahun ketika dia menjadi Ketua Menteri.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Hajiji Mohd Noor di atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16.
“Dia selalu memberikan komitmen dan profesionalisme sepenuhnya terhadap pekerjaannya ketika itu,” kata Musa yang menjadi Ketua Menteri Sabah dari 27 Mac 2003 hingga 11 Mei 2018.
Menurut Musa, walaupun Hajiji merupakan seorang individu yang penyabar namun Ketua Menteri Sabah yang baharu itu adalah pemimpin yang tegas.
Hajiji juga kata Musa, dapat membuat keputusan tanpa rasa takut dan tanpa pilih kasih.
“Saya yakin bahawa dengan kebijaksanaan dan pengalamannya yang luas, dia memiliki kemampuan untuk memimpin Sabah, membawa kebangkitan ekonomi yang sangat diperlukan untuk rakyat dan pembangunan negeri di masa depan,” kata Musa.
Hajiji yang merupakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 hari ini.
Beliau mengantikan Datuk Seri Shafie Mohd. Apdal selepas Gabungan Rakyat Sabah mengalahkan parti Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lalu.
Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah dari 12 Mei 2018 hingga 26 September lalu.
Shafie membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 8 Ogos lalu selepas Musa mendakwa mempunyai sokongan majoriti ADUN Sabah untuk mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah daripada Ketua Menteri Sabah ke-15 itu.
Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-16 di Istana Negeri hari ini.
Hajiji, 65, mengangkat sumpah jawatan pada jam 10.35 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Hajiji akan dibantu tiga timbalan iaitu Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Dr Jeffrey Kitingan, dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Joachim Gunsalam. -SM