Politik

Shafie perlu telan pahit hakikat kekalahan

Setakat hari ini Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal belum secara rasmi menerima kekalahan di tangan Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri yang baru berakhir.

Memang bukan mudah untuk menelan dan menerima hakikat beliau telah tersalah langkah dan akhirnya kehilangan kuasa.

Jika Shafie tahu dia akan kalah, sudah pasti beliau tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihan raya negeri tempoh hari.

Tan Sri Musa Aman baharu saja gertak dengan dakwaan memiliki sokongan cukup untuk membentuk kerajaan, Shafie terus melatah.

Orang-orang Shafie melenting apabila dianggap salah percaturan dari awal apabila membubarkan kerajaan negeri tempoh hari.


Lantas setelah kalah Shafie dikatakan berusaha bermain kotor dengan memancing pemimpin lawan untuk bersekongkol dengannya membentuk kerajaan, tetapi gagal.

Walaupun portal berita Malaysiakini memetik sumber bahawa Shafie menafikan menggerakkan inisiatif itu, tetapi ia ibarat cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru.

Jadi Shafie perlu tampil dan menjadi anak jantan menerima kenyataan kekalahan dan bangkit semula dan bukan hanya jurucakap yang tampil berbicara.

Dalam hal ini Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan beliau lebih jantan ketika menerima kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

Beliau tampil dan memberi ucapan kepada rakyat Malaysia dan lihatlah tidak sampai dua tahun Barisan Nasional kembali berkuasa.

Gabungan Warisan dan beberapa parti rakannya gagal mengekalkan kerajaan Sabah pada PRN Sabtu lalu apabila memenangi 32 kerusi daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membabitkan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula memperoleh 38 kerusi. Jumlah kerusi yang diperlukan untuk mendapat majoriti di DUN Sabah ialah 37.

Tiga wakil rakyat bebas yang menang dalam PRN itu kini menjadi penyokong GRS.

Terdapat spekulasi Mohd Shafie berusaha untuk menarik sokongan wakil rakyat di pihak lawan, manakala PBS mendakwa ada Adunnya “diganggu” oleh Warisan agar menyertai mereka.

Bagaimanapun, sumber Warisan Plus menafikannya.

Pada masa sama ada juga dakwaan wujud usaha untuk mengajak Adun Warisan Plus agar berpaling tadah, namun Mohd Shafie mendesak mereka untuk bertahan dan “terus berjuang”.

Sementara itu, dalam satu kenyataan semalam, wakil rakyat Luyang yang mempertahankan kerusi berkenaan, Phoong Jin Zhe meminta maaf atas kekalahan Warisan Plus.

“Saya minta maaf sangat-sangat kerana kami belum dapat mempertahankan Sabah untuk anda semua.

“Saya akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan, lantang dan progresif,” kata wakil DAP itu.

Walaupun kembali ke “zaman kegelapan”, Phoong mengatakan Warisan Plus akan terus memberikan harapan kepada seluruh rakyat.

(Visited 65 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button