Nasional

Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah baharu di Istana Negeri, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Berpakaian sut serba hitam, bersongkok, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak Covid-19, Hajiji mengangkat sumpah dan lafaz ikrar tepat jam 10.30 pagi di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Bismillahiirahmanirrahim…saya Hajiji Mohd Noor setelah dilantik ke jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah adalah dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya akan tunaikan kewajipan saya sebagai demikian dengan jujur dengan segala daya updaya bahawa saya akan menumpahkan taat setia saya kepada Sabah dan Persekutuan Malaysia.

“Saya akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah. Saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan pada mana-mana orang sama ada secara langsung atau tidak apa-apa perkara yang dibawa kepada pertimbangan saya atau diketahui saya sebagai Ketua Menteri kecuali sebagai mana yang dikehendaki untuk menunaikan kewajipan saya dengan sempurna sebagai demikian atau yang dibenarkan dengan khas oleh TYT,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menerima watikah perlantikan dan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah manakala Datuk Dr. Jefrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah II.


Sementara itu, Dr. Datuk Joachim Gunsalam mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Seri Masidi Manjun (Menteri Kerja Raya Sabah), Datuk Jahid Jahim (Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah).

Upacara tersebut dihadiri ahli keluarganya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.

Ahli Parlimen Sulaman itu mengangkat sumpah selepas gabungan politiknya, GRS dengan kerjasama PN memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN sekaligus mematikan peluang Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berusaha mengekalkan kuasanya.

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button