Murray diusik abangnya hanya ingat bawa topeng muka
GARA-GARA mengemas beg pakaian pada pukul 5 pagi, sebelum berangkat ke New York dari Lapangan Terbang Heathrow bagi menyertai kejohanan tenis Grand Slam, Terbuka Amerika Syarikat, Andy Murray telah tertinggal barangan keperluan yang sepatut dibawa, dedah abangnya, Jamie.
Bintang beregu, Jamie merakamkan dirinya dan juga adiknya, Andy sewaktu mereka berada di dalam kapal terbang untuk perjalanan jauh menuju ke Amerika Syarikat (AS), mengusik saudara lelakinya yang berusia 33 tahun itu tentang sikap pelupa bekas pemain No. 1 dunia tersebut.
“Kami baru sahaja berjaya masuk di dalam kapal terbang. Anak kapal yang bertugas kelihatan sangat tegas. Di sebelah saya ini, ada seorang budak dungu.
“Dia terlupa membawa peralatan mendengar tanpa wayar dan pengecas komputer riba, tetapi saya rasa masalah ini akan berlaku jika anda bangun pukul lima pagi untuk mengemas bagasi sebelum berangkat ke lapangan terbang,” kata Jamie menerusi rakaman video Instagram, sambil dia mengelap meja dan tempat duduk bagi mengelak risiko dijangkiti Covid-19.
Jamie menambah menerusi kapsyen videonya: “Satu-satunya barang keperluan yang dia ingat untuk bawa ialah topeng muka.”
Murray yang sememangnya seorang pelupa, tidak dapat menyertai Terbuka AS, pada tahun lalu dijangka berada dalam undian utama kali ini, lapan tahun selepas memenangi gelaran setelah menewaskan Novak Djokovic dalam lima set pada perlawanan akhir.
Selepas menunjukkan isyarat damai menerusi jarinya, Murray mempersendakan Jamie yang bersikap terlalu berhati-hati dengan bertanya: “Di mana sarung tangan berbulu anda? Dia ada beberapa bola salji di dalam begnya.”
Murray kemudiannya sekali lagi mengejek abangnya itu di dalam Instagram Story.
“Saya mungkin kehilangan rambut saya…terlupa bawa AirPods dan pengecas komputer riba, tetapi syukur saya tidaklah sampai memakai sarung tangan berbulu sepanjang berada di lapangan terbang,” katanya.
Murray menamatkan postingnya dengan kapsyen ‘Inilah keadaan dia’, dengan besertakan emoji badut dan sarung tangan. – Daily Mail UK – SM