Politik

Muncul di PRN Sabah, Rafizi tamatkan bersara politik?

NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli yang mengumumkan akan mengundurkan diri daripada dunia politik pada 10 Disember tahun lalu dilihat memunculkan diri di Pilihan Raya Negeri Sabah.

Facebook rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun – Bersamo Tok Min berkongsi gambar Rafizi sedang menyampaikan ucapan dalam sebuah bilik yang turut dihadiri calon RKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sook Raymond Ahuar.

Aminuddin menyifatkan kehadiran Rafizi bagaikan panglima perang turun ke medan pertempuran.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga menganggap Rafizi sebagai hero tidak didendang.

“Alhamdulillah. Tok Min bersyukur kehadrat diatas kehadiran saudara Rafizi di Sabah bagi mengukuhkan kedudukan calon PKR yang bertanding.

“Sesungguhnya Tok Min amat menghargai segala pengorbanan dan komitmen saudara Rafizi selama ini terhadap parti.

“Ibarat ‘sirih pulang ke gagang’ rasanya. Mudah-mudahan Allah Taala sentiasa memberi kekuatan kepada saudara Rafizi untuk terus berjuang membantu Datuk Seri Anwar Ibarahim dan PKR Insya-Allah,” kata Aminuddin.

Rafizi sebelum ini mengumumkan beliau tidak akan kembali ke arena politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sudah sampai masanya mempelajari kehidupan baharu kerana proses pembelajaran itu akan menjadikan dirinya seorang insan lebih baik.

“Saya nyatakan dengan jelas saya tidak akan kembali dalam bidang politik. Saya berada dalam fasa kehidupan perlu belajar.

“Hanya dengan belajar kita akan jadi lebih baik dan menyumbang lebih baik. Buat masa ini, saya teruja memberi tumpuan kepada AI (kepintaran buatan), pembelajaran mesin dan IoT (Internet of Things),” kata Rafizi dalam ciapannya menerusi Twitternya pada 10 Disember 2019.

Ciapan terbaru Rafizi berkenaan juga seolah-olah menggambarkan beliau akan ‘bersara’ dalam dunia politik dan merancang menceburi bidang berkaitan AI dan IoT serta pembelajaran mesin.

Pada 15 November 2019, selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC), Rafizi menyatakan beliau tidak berniat kembali aktif dalam politik dalam tempoh dua hingga empat tahun.

“Sebenarnya mana-mana ahli politik tidak kira Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) jika menang, kehidupan mereka tidak seperti orang biasa dan terpisah dari dunia sebenar dan ada ketikanya lupa daratan.

“Jadi pada zaman PH berkuasa ini, biarlah saya luangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga serta berehat daripada politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada waktu itu.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button