Politik

Kit Siang mahu Warisan Plus menang majoriti dua pertiga

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang menyeru rakyat Sabah agar membawa angin perubahan pada Pilihan Raya Negeri Sabah dengan memberikan kemenangan majoriti dua pertiga kepada Warisan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, PRN Sabah perlu dijadikan sebagai perintis usaha mengembalikan mandat yang berasaskan integriti, keadilan, dan kemajuan dalam pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-15

“Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini amatlah penting, bukan sahaja demi masa depan Sabah, tetapi juga untuk masa hadapan Malaysia.

“Sabah dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu — dan saya menyeru kepada semua rakyat Sabah untuk membawa angin perubahan pada 26 September, dengan memastikan bukan sahaja kemenangan Warisan Plus, tetapi kemenangan majoriti dua-pertiga,” kata Kit Siang.

DAP mempertaruhkan tujuh calon dalam PRN Sabah. Tidak seperti PKR yang menggunakan lambang sendiri pada PRN Sabah, calon-calon DAP tidak menggunakan lambang kebanggaan parti itu, Roket tetapi sebaliknya memakai lambang parti Warisan.

Sementara itu Kit Siang berkata, seramai 447 orang mendaftar sebagai calon dalam PRN Sabah menunjukkan berlaku perpecahan di Sabah.

“Suruhanjaya Pilihan Raya akan menjadi pihak yang paling beruntung memandangkan Suruhanjaya tersebut berkemungkinan mendapatkan RM1 ke RM1.5 juta daripada kira-kira 200 ke 300 calon yang bakal kehilangan deposit mereka.

“Perkara ini juga menunjukkan perpecahan yang dihadapi oleh penduduk di Sabah, setengah abad selepas penubuhannya. Namun, perkara ini tidak sahaja berlaku hanya di Sabah tetapi di seluruh Malaysia juga,” kata Kit Siang.

Dalam blognya, Kit Siang turut memberitahu dia pertama kali menjejakkan kaki di Sabah pada hari bersejarah 13 Mei 1969.

Dia ke negeri itu untuk membantu calon bebas Kota Kinabalu dalam Pilihan Raya Umum 1969 dan turut dijadualkan untuk terus ke Sandakan dan Tawau untuk membantu calon bebas di sini berkempen.

“Saya bertolak meninggalkan Kuala Lumpur pada pagi 13 Mei 1969 dan pertama kali mendengar berita mengenai kejadian di Kuala Lumpur di satu himpunan awam di Kota Kinabalu pada waktu petang hari yang sama — namun saya telah dituduh selama berdekad-dekad sebagai menjadi punca rusuhan 13 Mei dan kononnya memimpin perarakan haram di jalan-jalan di Kuala Lumpur semasa rusuhan ini.

“Sedangkan hakikatnya saya tidak pun berada di Kuala Lumpur pada hari rusuhan ini berlaku,” jelas Kit Siang.-SM

 

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button