Politik

Muhyiddin tegur media, macam hanya BN, PH bertanding di Melaka

PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menegur media kerana tidak memberikan ruang yang saksama kepada Perikatan Nasional dalam pelaporan berita.

Menurut Presiden Bersatu itu, hanya berita mengenai Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sahaja memenuhi ruangan berita.

“Semalam saya melihat dalam televisyen nampaknya macam tak ada parti lain bertanding.

“Barisan Nasional saja, dan Pakatan Harapan sedikit sebanyak. Macam PN tak ada langsung,” katanya pada program Pentas PRN Melaka yang turut disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

Muhyiddin berkata, keadaan sebegitu tidak menggambarkan ruang yang adil dan saksama untuk calon PN.

Justeru beliau meminta menteri berkaitan supaya dapat melihat perkara tersebut.

“Saya minta YAB perdana menteri, menteri penerangan, Tan Sri Annuar Musa dan juga pihak televisyen yang ada, media, berlaku adil supaya dalam situasi sukar di waktu pandemik Covid-19 ada ruang dan peluang memperkenalkan parti kita dan calon-calon kita yang bertanding di negeri Melaka ini,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut meminta kerajaan untuk memberikan kelonggaran terhadap kekangan berkempen secara bersemuka, dengan meminta calon-calon bertanding dibenarkan bertemu pengundi.

“Sebagai contoh, supaya calon-calon kita yang bertanding ini diberikan lebih banyak kemudahan, kebebasan untuk boleh turun (berkempen).

“Pasal kalau calon tak turun berjumpa dengan pengundi, saya kira agak tidak memberikan gambaran yang baik, seolah-olah kita ini sombong, tak sedia jumpa (pengundi).

“Maklumlah di kampung mereka berharap kita datang berjumpa tapi ada halangan dan sekatan,” katanya.

Kelmarin Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka termasuk dari pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Annuar berkata ini kerana kerajaan memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baru untuk berkempen dalam suasana norma baru.

“Saya faham masalah mereka dan saya terima hakikat bahawa ada orang cakap ia sedikit ‘handicap’ (sulit) terutama kepada calon baru.

“Walaupun parti politik memperkenalkan kaedah baru (berkempen), tetapi masih (ada keperluan) memberi peluang kepada mereka muncul di rangkaian televisyen,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button