Politik

Muhyiddin rayu rakyat tolak pemimpin jejas kestabilan negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu semua rakyat negara ini menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau yakin dan percaya masa depan negara boleh dilakar lebih baik bersandarkan keyakinan dan kepercayaan kepada kekuatan semangat rakyat.

Beliau menjelaskan, apa yang diperlukan negara ketika ini dalam menghadapi tempoh mencabar menangani penularan wabak Covid-19 yang belum berakhir ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dokongan rakyat.

Hal ini penting, kata Perdana Menteri, agar lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan.

“Saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian supaya bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengemudi negara dalam keadaan kita masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa ini.

“Pengumuman yang saya buat pada hari ini (pakej KITA PRIHATIN) menandakan Kerajaan PN mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian. Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini,” katanya dalam Perutusan Khas Kita Prihatin di sini hari ini.

Kenyataan Perdana Menteri itu dipercayai merujuk kepada tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat pengumuman bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu telah memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button