Nasional

Muhammad Ezwan tunai impian ibu bapa raih Sarjana walau cacat penglihatan

KEKURANGAN pada diri jika disulami dengan kecekalan dan semangat yang kuat mampu menjadikan seseorang itu bukan sahaja berjaya, tetapi cemerlang dalam apa juga bidang diceburi.

Status ketidakupayaan penglihatan bukanlah penghalang kepada Muhammad Ezwan Mohd Alikusbari, 27, anak kedua daripada tiga adik beradik untuk terus menempa kejayaan di peringkat tertinggi. Dia membuktikan kepada orang ramai, walaupun berstatus OKU, beliau mampu untuk menjalani kehidupan seperti orang normal.

Anak kelahiran Johor itu berjaya menggenggam Sarjana Pendidikan, Pendidikan Khas pada sesi keenam Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-25 semalam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Muhammad Ezwan, guru pendidikan khas di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kulai, Johor ketika ditemui berkata ketidakupayaan penglihatan yang dialaminya sejak kecil bukan alasan untuk dirinya berputus asa sebaliknya ia menjadi pembakar semangat untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Saya mengalami ketidakupayaan penglihatan sejak lahir, ketika itu saya masih mampu untuk melihat objek yang bersaiz besar, namun sejak tahun 2018 mata saya mula mengalami kabur dan hilang penglihatan sehingga sekarang”, katanya.

Menurut ibunya, Latifah Hussein, 54, suri rumahtangga dan bapa, Mohd Alikusbari Salleh, 58, seorang buruh kasar , mereka tetap berusaha memastikan anak mereka tidak ketinggalan di dalam pelajaran.
“Kami menghantar Muhammad Ezwan ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth seterusnya ke Sekolah Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Kemudian, Ezwan melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Ezwan berkata, cabaran untuk mereka yang mengalami ketidakupayaan penglihatan ini sangat besar terutamanya apabila ingin mendapatkan bahan rujukan.

Muhammad Ezwan Mohd Alikusbari memegang Ijazah Sarjana Pendidikan Khas yang diterimanya Pro Canselor, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

“Saya tidak dapat membaca buku-buku bercetak, namun saya bergantung kepada jurnal-jurnal dalam talian dan Microsoft Power Point dan nota-nota yang dibekalkan oleh pensyarah. Syukur, saya dibantu ramai pihak terutamanya rakan-rakan sekelas dan mereka sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan”, tambah Ezwan lagi.

Akuinya, keluarga menjadi sistem sokongan kuat kepadanya sehingga dia mampu berdiri seperti hari ini, dia bersyukur kerana sentiasa diberi dorongan penuh sejak kecil lagi.

“Ahli keluarga banyak membantu terutama kakak saya, beliaulah yang akan membacakan buku-buku dan nota serta membantu melengkapkan keperluan saya sepanjang tempoh pengajian Sarjana ini”.

Muhammad Ezwan, yang pernah mewakili negeri Johor dalam ParaSukma berkata, mereka yang berstatus OKU perlu belajar lebih daripada orang biasa untuk mendapat banyak peluang pekerjaan untuk persaingan yang lebih sihat.

Menurutnya, seseorang perlu peningkatan dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi untuk penambahan ilmu serta kekal relevan sebagai guru pendidikan khas.

Dia yang menjadikan Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh, pakar Ekonomi OKU penglihatan pertama sebagai sumber inspirasi berkata, mungkin selepas ini, akan menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah, tapi bukan dalam masa terdekat kerana ingin fokus kepada kerjaya seorang guru dan ingin menyumbang kepada bidang pendidikan khas khususnya ketidakupayaan penglihatan.

Beliau antara 1,047 graduan UPSI yang menerima skrol pada sesi keenam Majlis Konvokesyen ke-25 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Proton City di sini hari ini. -SM\

Baca : Ucapan Naib Canselor UPSI sempena konvokesyen tular 366k di media sosial

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button