Keceriaan jelas terpampang pada wajah seorang mualaf, Johari Sudah, 49, dari Kampung Orang Asli Bukit Payung dekat sini apabila menerima sebuah rumah baharu bernilai RM30,000 sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini semalam.
Dia yang juga kelainan upaya (OKU) pada kakinya sejak 20 tahun lalu hanya mendiami sebuah bangsal yang sangat daif serta bocor setiap kali hujan dan tidak mempunyai bilik.
Katanya, dia tidak pernah termimpi untuk memiliki rumah baharu seperti masyarakat kampung lain dan menjangkakan akan terus hidup di sebuah bangsal hingga akhir hayat.
Ujarnya, hasrat untuk memiliki rumah disuarakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd. Irwan Redzuan Abdullah dan tidak lama selepas itu impiannya menjadi kenyataan.
“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri, MAIM dan JPKK kerana membantu saya merealitikan impian saya untuk menduduki rumah baharu.
“Kini saya rasa dapat hidup lebih selesa dulu bangsal yang saya diami sangat uzur, kalau hujan air masuk dan tidur pun tak selesa,” ujarnya ketika ditemui selepas menerima kunci rumah daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada Program Cakna Ummah Masyarakat Orang Asli Bukit Payung di sini petang semalam.
Rumah pemberian MAIM itu bernilai RM30,000 dengan keluasan 300 kaki persegi merangkumi satu bilik tidur, satu bilik air dan tandas, dapur dan ruang tamu. Rumah tersebut mula dibina pada 25 September 2022 dan siap sepenuhnya pada 15 Januari lalu.
Johari yang masih belum berkahwin menyifatkan bantuan rumah baharu itu merupakan rahmat dia memeluk Islam dan menjelang sambutan Ramadan tidak lama lagi.
Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini disifatkannya sangat berharga kerana mendiami rumah baharu yang lebih selesa dan membolehkan rakan-rakannya serta masyarakat kampung boleh datang
menziarah.
“Dulu duduk di bangsal malu rasanya hendak jemput orang datang ke rumah tetapi sekarang alhamdulillah atas keprihatian semua pihak membolehkan saya mendiami rumah lebih baik,” katanya yang mempunyai pendapatan kerja kampung. – SM