Sukan

MSN nafi bersikap pilih kasih terhadap MAKAF

MAJLIS Sukan Negara (MSN), hari ini menafikan dakwaan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang menuduh badan induk sukan negara itu mengamalkan sikap pilih kasih terhadap pertubuhan tersebut.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, segala dakwaan mengenai keputusan yang tidak selari dengan perancangan dan kehendak MAKAF melibatkan bilangan dan peruntukan gaji jurulatih yang didakwa tidak setimpal seperti diterima oleh jurulatih dari sukan lain adalah menyimpang daripada situasi sebenar.

“Keputusan MAKAF memberhentikan jurulatih luar negara Ali Reza yang sebenarnya adalah calon pilihan mereka sendiri sebelum ini dan ekoran daripada masalah dalaman persekutuan itu, jurulatih tersebut telah digantikan dan kita akur dengan keputusan berkenaan.

“Rentetan dari itu, MAKAF mencadangkan untuk melantik kembali R.Puvaneswaran yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih pasukan pelapis kebangsaan sebelum diberhentikan oleh pengurusan MAKAF yang sama.

“Selepas beliau menamatkan perkhidmatannya di Thailand, MAKAF berhasrat mengambilnya kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan dan kita juga akur dengan keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Menurut beliau, MSN juga akur dengan keputusan MAKAF untuk menutup pusat latihan atlet KATA di Pulau Pinang dan memindahkannya ke Bukit Jalil, walaupun pusat latihan tersebut telah banyak melahirkan atlet-atlet KATA yang telah menyumbangkan pingat kepada negara.

Jelas Shapawi, ekoran daripada keputusan itu, pihaknya juga akur dengan kehendak MAKAF menamatkan khidmat jurulatih tempatan Lim Lee Lee yang selama ini mengendalikan program palapis KATA di Pulau Pinang.

“Kita juga akur dengan keputusan bersama dalam Jawatankuasa Kerja MAKAF bersama MSN/ISN pada 21 Januari lalu bahawa tiga jurulatih akan mengendalikan program latihan pasukan kebangsaan dan pelapis di Bukit Jalil yang hanya mempunyai 16 pelatih (7 senior dan 9 pelapis kebangsaan) buat masa ini.

“Tetapi, semalam, MAKAF dalam mesyuarat Jawatankuasa Program telah mengemukakan cadangan mengambil seorang lagi jurulatih bagi mengendalikan program pembangunan yang akan dilaksanakan melalui akademi MAKAF yang bakal diwujudkan oleh pihak MAKAF sendiri nanti dan MSN berpandangan bahawa cadangan itu masih terlalu awal kerana belum ada lagi atlet-atlet pelapis yang dipilih ekoran pendemik Covid 19 yang masih belum reda lagi ketika ini,” ujarnya.

Namun begitu, tambah Shapawi, cadangan itu akan dipertimbangkan semula dalam Jawatankuasa Kerja Karate selepas penetapan sebenar pemilihan atlet-atlet pelapis dilakukan nanti.

“Sudah tentu MSN akan akur dengan keputusan MAKAF yang merupakan badan sukan kebangsaan bertanggungjawab dalam pembangunan sukan karate di Malaysia ketika ini, tetapi kita juga mempunyai limitasi dalam menentukan peruntukan gaji serta kadar kenaikan gaji jurulatih yang tertakluk kepada Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) yang seragam digunakan selama ini untuk semua jenis sukan supaya ia lebih adil kepada semua dan MAKAF sedia maklum tentang perkara tersebut,” tegas beliau.

Shapawi juga mengalu-alukan pihak MAKAF menyediakan insentif tambahan kepada jurulatih yang sedia ada sebagaimana yang dilakukan oleh persatuan sukan lain yang mempunyai kemampuan kewangan mereka sendiri.

Tambahnya, bagaimanapun, bagi menghormati cadangan MAKAF sebagai badan induk sukan karate di Malaysia, MSN akan mempertimbangkan dan mengadakan perbincangan semula melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Karate yang dijangka diadakan pada penghujung Mac atau awal April ini. – SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button