Politik

MP PKR ingatkan Dr. M henti berlagak lupa ingatan

SEORANG Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat mengingatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berhenti untuk berlagak seperti orang hilang ingatan.

Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, sejak kebelakangan ini Ahli Parlimen Langkawi itu begitu aktif menafikan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang hampir setahun lalu.

“Hantaran beliau di facebook dan laman blognya berkali-kali membuat penafian dan penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku. Nasihat saya kepada Tun Mahathir berhentilah berlagak seperti orang lupa ingatan.

“Selepas beliau meletakkan jawatan, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution telah menghubungi beliau untuk menyertai mesyuarat PH bagi membincangkan calon perdana menteri yang baru tetapi jemputan tersebut ditolak oleh Mahathir sendiri.

“Maka PH membuat keputusan secara konsesus melalui mesyuarat menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri,” kata Abdullah Sani.

Beliau mendakwa, hanya selepas menyedari Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin akan dilantik sebagai perdana menteri baharu Dr. Mahathir mahu bersama semula dengan Pakatan Harapan.

Katanya, Dr. Mahathir tidak pernah menceritakan perkara tersebut dalam sebarang penafian dan penjelasan berhubung kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan berikutan tindakan beliau meletakkan jawatan.

“Setelah undian dibuat melalui undian persendirian ahli Parlimen, jelas Mahathir jauh ketinggalan dengan hanya mendapat 62 undi berbanding Anwar Ibrahim yang memperoleh 92 undi. Kenapa yang dapat 92 undi kena ikut orang yang kalah?

“Mahathir tidak pernah berhenti menyalahkan Anwar atas kejatuhan PH. Mahathir sepatutnya muhasabah diri atas apa yang berlaku semua ini adalah dari tindakan beliau sendiri,” kata Abdullah Sani.

Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada 24 Februari tahun lalu. Peletakan jawatan Dr. Mahathir menyebabkan Kabinet yang beliau tubuhkan turut terbubar.

Peletakan jawatan itu susulan beberapa peristiwa termasuk parti Bersatu yang dipimpin Muhyiddin  mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan.

Beberapa pemimpin PKR juga mengumumkan keluar daripada parti itu dan tidak mahu bersama dengan Pakatan Harapan sekaligus menyebabkan PH tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Dalam beberapa siri penjelasan, termasuk terbaharu semalam, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak faham mengapa peletakan jawatannya sebagai perdana menteri sukar difahami.

Menurut Dr. Mahathir dia dilantik menjadi Perdana Menteri (PM) kerana memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

“Apabila saya tidak lagi jadi Pengerusi Bersatu, saya tidak lagi layak jadi Perdana Menteri. Maka saya pun terpaksa letak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Walaupun saya minta supaya Bersatu tangguh keputusan keluar dari PH, tetapi pada malam 23 Februari 2020 (Ahad) Bersatu telah ada majlis makan malam bersama PAS dan UMNO, iaitu gabungan parti-parti yang dirancang oleh Muhyiddin untuk menjadi Kerajaan apabila PH jatuh.

“Saya jatuh bersama dengan kejatuhan PH. Tidak munasabah saya terus jadi Perdana Menteri apabila PH tidak lagi jadi Kerajaan,” kata Dr. Mahathir.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button