Nasional

PSMB sediakan 200 kursus latihan percuma, bantu rakyat tingkatkan kemahiran

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah melancarkan hab e-pembelajaran terbaru yang dikenali sebagai e-LATiH sebagai usaha untuk membantu rakyat Malaysia dalam tempoh sukar memerangi Covid-19 ini.

Platform tersebut akan membolehkan rakyat membuat persiapan untuk masa depan dengan mengakses beratus-ratus pengisian berasaskan pembangunan kemahiran dan pendidikan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif ini dilaksanakan bagi mendorong rakyat Malaysia untuk menerapkan pembelajaran dan pemerolehan pengetahuan sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

“Rakyat harus terus berusaha dalam dunia yang semakin kompetitif, hanya mereka yang betul-betul bersedia dari sekarang akan memperoleh kejayaan di masa akan datang,” katanya.

 


Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah hasil kolaborasi antara PSMB dan Go1, iaitu salah satu agregator e-pembelajaran antarabangsa terbesar.

Melalui kerjasama ini, e-LATiH akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi akses percuma kepada lebih daripada 200 kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri
Malaysia.

Oleh kerana kursus ini disediakan oleh agregator antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan, kursus untuk masa ini hanya disediakan dalam Bahasa Inggeris.

PSMB bagaimanapun akan menambah lebih banyak kandungan dalam masa beberapa minggu ini dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, walaupun keutamaan organisasi adalah kepada majikan yang membayar levi, platform e-LATiH tersebut dihasilkan sebagai usaha PSMB untuk memberi semula kepada rakyat Malaysia.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab memelihara industri latihan dan pembangunan di Malaysia, adalah menjadi harapan kami untuk menambah nilai kemahiran seluruh rakyat Negara ini,” jelasnya.

Ujarnya, pekerja dan individu akan berpeluang untuk memilih kursus pilihan mereka daripada pelbagai jenis kursus latihan yang merangkumi peningkatan kemahiran juga pembangunan peribadi.

e-LATiH akan tersedia untuk semua rakyat Malaysia bermula hari ini hingga 5 Februari 2022.

Untuk mengakses kursus latihan dalam talian secara percuma, layari https://elatih.hrdf.com.my/. -SM

(Visited 392 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button