Politik

MP kesal media online dihalang liput sidang Parlimen

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil melahirkan rasa kesal dengan tindakan Parlimen yang menghalang terutama semua media online, dari menghadiri dan membuat liputan sidang Parlimen terutama pada ketika Belanjawan 2021 akan dibentang dan dibahas 2 November nanti.

Beliau berkata, inilah waktu paling penting untuk lebih banyak media hadir membuat liputan, kerana sidang ini akan memperlihat perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat bagi tahun akan datang.

“Dalam keadaan ekonomi yang suram dan negara dilanda wabak Covid-19, semestinya bagaimana kerajaan mengurus perbelanjaannya akan menjadi perhatian semua.

“Sekiranya benar pihak Parlimen berpandangan ruang bagi petugas media tidak mencukupi, dan itu antara sebab utama Parlimen menghalang lebih banyak media dari hadir, saya percaya terdapat banyak ruang yang boleh diubahsuai menjadi tempat bagi petugas media.

“Sebagai contoh, sekiranya tempat media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas media, bilik-bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah juga bangunan pejabat Ahli-Ahli Parlimen boleh diubahsuai dengan mudah untuk membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar SOP MKN dan KKM.

“Malah jika perlu, khemah khas seperti yang biasa didirikan untuk para VIP sewaktu program-program Kementerian di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media.

“Bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya.

Justeru beliau memohon agar Speaker Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbang semula arahan yang dikeluarkan pentadbiran Parlimen ini, bukan sahaja demi kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga demi kemuliaan Dewan Rakyat itu sendiri.

Parlimen Malaysia hanya menyenaraikan 15 agensi media terdiri daripada media arus perdana yang dibenarkan untuk membuat liputan pada sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas dan Pembentangan Belanjawan 2021 bermula pada 2 November ini.

Dalam satu surat kepada ketua-ketua pengarang akhbar yang diedarkan hari ini, Parlimen memberitahu tindakan itu selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19 dan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan KKM bagi memastikan sidang Parlimen berjalan dengan selamat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button