Nasional

Mosti lancar sistem e-ticketing Pusat Sains Negara

YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini melancarkan perkhidmatan pembelian tiket dalam talian atau e-Ticketing Pusat Sains Negara (PSN) bertempat di Pusat Sains Negara.

Sistem e-Ticketing PSN dibangunkan menggunakan gerbang pembayaran real-time payment platform (RPP) daripada syarikat Payment Network Malaysia (PayNet).

Untuk makluman, Sistem e-Ticketing PSN merupakan sistem yang terawal yang menggunakan platform RPP dalam agensi kerajaan.

Sistem ini bukan sahaja dapat diakses dan digunakan melalui pelayar sesawang (web browser), malahan pengguna juga dapat membeli tiket melalui aplikasi yang dimuat turun menerusi gerbang Google Play Store dan App Gallery Huawei.

Manakala di gerbang Apple App Store akan diintegrasi dalam masa terdekat.

Pada masa kini perkhidmatan Sistem e-Ticketing hanya menawarkan perbankan internet dan e-dompet (e-wallet) sahaja. Kaedah bayaran melalui kad debit dan kad kredit pula sedang diintegrasi dalam masa yang terdekat bagi memudahkan semua pengguna sistem.

Bermula 18 Julai 2023, pengunjung boleh melayari www.psn.gov.my atau memuatnaik aplikasi dalam talian e-Ticketing PSN di Google Play Store atau App Gallery Huawei bagi membuat pembelian tiket kemasukan. Sistem ini kini memberikan kemudahan dan memudahkan pengunjung untuk membeli tiket dalam talian dengan lebih mudah, menjimatkan masa dan di mana sahaja menggunakan peranti mudah alih masing-masing.

Pembangunan Sistem e-Ticketing PSN ini sejajar dengan penerimagunaan teknologi baharu (emerging technologies) seiring dengan transformasi digital sektor awam.

Ia juga bertepatan dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021 – 2025 yang telah menggariskan halatuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam sebagai panduan bagi memacu agenda
Kerajaan Digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital.

Turut hadir semasa majlis ialah YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, dan YBrs. Puan Mismah Jimbun, Pengarah Pusat Sains Negara

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button