Politik

MKT UMNO pamer kebijaksanaan dan kematangan politik

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang terus memaparkan kebijaksanaan musyawarah dan sentiasa menunjukkan tahap kematangan politik yang tinggi dipuji oleh Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang memanjatkan rasa syukur di atas sikap MKT berkata, ini kerana ahli-ahlinya sentiasa bersuara secara terbuka dan jujur walaupun kadangkala timbul perbezaan pendapat di antara mereka.

Sementara itu kata Annuar, Presiden parti yang menakhodai MKT pula sentiasa memberi ruang dan meraikan kepelbagaian pendapat di kalangan Ahli MKT. Suara ahli MKT dihormati.

“Tahun ini merupakan tahun tamatnya tempoh memegang jawatan bagi semua ahli MKT.

“Tempoh sebenar tamat pada tahun lalu lagi namun perlembagaan UMNO membolehkan penangguhan maksima 18 bulan. Ia terpaksa dilakukan kerana memuncaknya kes penularan pandemik Covid-19 ketika itu,” kata Annuar yang dipetik daripada akaun Facebook beliau.

Kata Annuar lagi, “Alhamdulillah keadaan kini sudah semakin baik. Saya percaya MKT tidak akan berlengah untuk segera mengadakan pemilihan sementara keadaan mengizinkan sekarang.

“Lagi pun pemilihan jawatan dalam parti sentiasa menghasilkan kepimpinan yang semakin mantap serta saf pimpinan yg mempunyai “legitimacy” – yang lebih kukuh dengan mendapat mandat dari akar umbi.”

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, meskipun pemilihan dibenarkan dalam UMNO, tidak semestinya pula akan berlaku perebutan.

Malah, ujar Annuar, satu daripada amalan yang sering dilakukan dalam UMNO di semua peringkat adalah “baton” kepimpinan bertukar tangan secara harmonis, konsensus dan penuh semangat kesetiakawanan serta mendahulukan kepentingan perjuangan parti.

“Pemakluman Setiausaha Agong (SUA) UMNO, pasca mesyuarat MKT yang lalu bahawa MKT terus memperkasakan kepimpinan dan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu manifestasi kebijaksanaan MKT.

“Mesyuarat MKT jelas membuat “endorsement” bahawa Ismail Sabri akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen Ke-14 pada tahun 2023,” katanya.

Tambah beliau, bukan itu saja, malah MKT turut menunjukkan isyarat bahawa Ismail Sabri adalah “posterboy” Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sekali gus merupakan calon Perdana Menteri daripada UMNO pasca PRU15 nanti.

“Secara tidak langsung, MKT UMNO memberi isyarat bahawa tradisi UMNO akan terus dipertahankan,” ujarnya.

Pada hemat Annuar, dalam UMNO, seseorang yang diangkat sebagai Perdana Menteri akan seterusnya diberi “endorsement” oleh parti untuk mengambil alih kepimpinan parti sebagai Presiden UMNO.

“Saya percaya inilah sebahagian dari sumber kekuatan parti. Peralihan kepimpinan utama sentiasa berlaku secara berhemah dan penuh kebijaksanaan.

“Yang mengganti terus memperkasa parti, yang diganti pula tetap dipandang tinggi. Bak kata pepatah Melayu, Patah tumbuh, hilang berganti,” jelas Annuar lagi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button