Nasional

Keputusan PM Azam kekal Ketua SPRM atau tidak – Peguam

PEGUAM Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, keputusan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengekalkan jawatannya terletak pada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PEGUAM Muhammad Rafique Rashid Ali

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata kepada FMT, menurut Seksyen 5(1) Akta SPRM, Yang di-Pertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri, melantik Ketua Pesuruhjaya agensi antirasuah itu.

Beliau berkata, sebagai raja berperlembagaan, Agong mesti melantik atau melucutkan jawatan ketua SPRM atas nasihat Perdana Menteri .

Rafique berkata demikian bagi menjawab laporan Sinar Harian semalam yang memetik Azam sebagai berkata bahawa hanya Agong yang boleh meminta beliau meletak jawatan.

Kata Rafique  lagi, Ketua (Pesuruhjaya) SPRM tersilap mengenai pelantikannya bawah undang-undang bertulis (Akta SPRM dan Perlembagaan Persekutuan).

Beliau berkata, Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong dalam menjalankan fungsinya, mesti bertindak berdasarkan nasihat Jemaah Menteri atau menteri.

Malah pelantikan Peguam Negara kata Rafique, sama ada melibatkan penjawat awam atau pegawai kontrak, adalah berdasarkan nasihat Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 145(1).

“Beliau juga boleh dilucutkan jawatan oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri,” kata Rafique yang memetik kes bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Terdapat gesaan supaya Azam meletak jawatan berikutan dakwaan yang timbul baru-baru ini mengenai pemilikan sahamnya dalam syarikat senaraian awam.

Bagaimanapun pada sidang media khas minggu lalu, Azam menafikan sebarang salah laku dan berkata, adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk memperoleh jutaan saham tersebut.

Kes itu kini disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). – SM

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button