MITI sasar 2 juta pekerja divaksin sehingga September
KIRA-kira dua juta pekerja sektor pembuatan akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Bagaimanapun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan program berkenaan bergantung kepada bekalan vaksin COVID-19 termasuk tenaga kerja iaitu bilangan doktor dan pasukan kesihatan yang ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS.
Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi jaminan negara akan menerima lebih banyak dos vaksin pada bulan Ogos.
“Justeru, kepada industri yang belum berdaftar dengan PIKAS, saya menyeru agar segera berbuat demikian bagi mencapai tahap imuniti kelompok negara.
“Jika cepat kita laksanakan, cepat juga kita akan kembali kepada kehidupan biasa, namun tetap dengan norma baharu.
“Jadi, sekali lagi saya ingin menyatakan, jangkitan COVID-19 ini dapat diputuskan sekiranya kita semua berganding bahu dan bekerjasama membantu mengekang penularan virus merbahaya ini dalam kalangan masyarakat,” kata Mohamed Azmin dalam satu kenyataan.
Sementara itu beliau berkata, PIKAS dilaksanakan berikutan data KKM menunjukkan bahawa kluster baharu banyak melibatkan tempat kerja.
Pelaksanaan PIKAS boleh mengelakkan jangkitan virus dari terus meningkat dalam kalangan pekerja terutamanya dalam subsektor pembuatan.
“Saya faham, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah ‘total lockdown’.
“Keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ianya adalah sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam.
“Namun begitu, bagi syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan MITI, pihak kami tidak teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” kata Mohamad Azmin.
PIKAS dilancarkan pada Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 16 Jun lalu.
Program vaksinasi PIKAS akan dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.
Pelaksanaan PIKAS mendapat persetujuan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelindung diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah termasuk pembuatan sarung tangan perubatan akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.-SM