Berita

Misi ekspedisi tujuh puncak 2020 Kelab Jelajah Alpine Malaysia bermula

SEBAGAI pembuka tirai tahun 2020, Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) sekali lagi menganjurkan program pendakian ke tujuh puncak gunung tertinggi disetiap benua dunia (World 7 Summits).

Pendakian pertama untuk tahun 2020 adalah ke Gunung Aconcagua di Banjaran Andes, Argentina dengan ketinggian 6,962 meter.

Gunung Aconcagua tersenarai sebagai puncak tertinggi di benua Amerika Selatan dan juga merupakan gunung kedua tertinggi di dalam senarai tujuh puncak tertinggi disetiap benua.

Misi pendakian ke Aconcagua diketuai oleh Zainudin Lot yang juga merupakan Penasihat KJA.

Kumpulan lapan pendaki itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, malam tadi menuju ke Buenos Aires, Argentina.

Menurut Presiden KJA, Muhammad Illaham Ishak, pendakian ke Aconcagua membabitkan lapan orang pendaki yang merupakan kumpulan terbesar pendaki yang menyertai misi ekspedisi kali ini dibawah kelolaan KJA.

“Misi pendakian ke Aconcagua kali ini membabitkan pendaki yang berpengalaman. Saya yakin walaupun dari segi usia, ada yang berusia 48 tahun, 59 tahun dan 60 tahun, tetapi keadaan fizikal dan mental mereka sangat kuat dimana mereka sebelum ini telah berjaya menawan puncak tertinggi di benua Eropah iaitu gunung Elbrus pada bulan September lepas”.

Tambah Muhammad Illaham, misi Ekspedisi Tujuh Puncak Dunia ini dinamakan “Ekspedisi Malaysia Boleh World 7 Summit 2020” dimana KJA membawa para pendaki mendaki gunung tertinggi di 7 Benua yang cuba didaki oleh pendaki antarabangsa.

“KJA juga akan membawa pendaki ke gunung “7summit” yang lain iaitu Gunung Denali di Alaska pada bulan Jun, Gunung Elbrus, Rusia bulan Ogos dan Gunung Kilimanjaro, Afrika pada September 2020”.

Menerusi misi ekspedisi ini juga, KJA mengambil inisiatif mengumpul dana untuk Misi Antarabangsa “Climb For Peace” iaitu misi kemanusiaan dan bantuan mangsa peperangan di bawah kelolaan Aman Palestin.

Pendakian kali kedua ke Aconcagua anjuran KJA ini dilaksanakan setelah kejayaan pada tahun 2017 dimana empat orang pendaki KJA berjaya ke puncak gunung itu.

Sementara itu, Ketua Pendaki, Zainudin Lot berkata, faktor cuaca di Banjaran Andes diharap menyebelahi pendakian mereka yang dijangka memakan masa selama 12 hingga 15 hari.

“Saya mengharapkan keadaan cuaca di pergunungan Andes baik sepanjang misi pendakian kami dan kami juga mengharapkan seluruh warga pencinta gunung khususnya dan warga Malaysia amnya mendoakan kejayaan kami semua, Insha Allah”.

Keadaan cuaca yang berangin antara 35 hingga 55 kilometer sejam merupakan salah satu cabaran yang bakal ditempuh pendaki sewaktu pendakian naik dan turun.

Ekspedisi ini turut disertai dua pendaki wanita berusia 47 dan 48 tahun.

Pendakian ke puncak Aconcagua dikategorikan sebagai pendakian secara Alpine iaitu memerlukan kelengkapan seperti Summits Boots dan Crampon.

Pendakian juga dibekalkan alat telekomunikasi Telefon Satelit dan pihak KJA turut menyediakan pusat komunikasi di Malaysia yang akan diselia oleh ahli berpengalaman.

Pendaki-pendaki yang menyertai misi ekspedisi Aconcagua ialah Zainudin Lot, 43 tahun, Mohamad Ashaziq Abu Bakar, 28, Shaidan Sulaiman, 60, Mazlan Adam, 59, Zulkifli Yusof, 32, Puan Sri Najatul Haya Hj Razali, 48, Arfah Ahmad, 47 dan Mafeitzeral Mamat, 43.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button