Milo Dinosaur terus unik
Oleh Ben Zahrain
PLATFORM muzik independen di negara ini menawarkan seleksi band-band unik pelbagai genre yang masing-masing mengetengahkan potensi mereka yang tersendiri. Ada yang bermuzik bingit, sederhana, laju, bermelodi, pop dan sebagainya.
Band-band ini selesa berada di luar ruang arus perdana dan dengan kepesatan teknologi maklumat ketika ini, lagu-lagu mereka dapat diakses dengan mudahnya di mana-mana sahaja serta tidak lagi terhad kepada format CD, kaset atau piring hitam sepertimana dahulu.
Menerusi platform-platform online seperti bandcamp, Spotify, iTunes, YouTube Music dan sebagainya, band-band ini dapat mengetengahkan muzik mereka ke halwa telinga pendengar dengan lebih pantas dan mudah.
Salah sebuah band yang sinonim dengan muzik independen ialah band emo dari Kuala Lumpur iaitu Milo Dinosaur. Album mereka, ‘Dengan Ikhlas’ telah diterbitkan menerusi platform YouTube pada September tahun lalu sebelum mengeluarkannya menerusi format fizikal selepas itu.
Selain menggunakan lirik Bahasa Melayu sepenuhnya dalam lagu-lagu mereka, Milo Dinosaur menawarkan pelbagai lagi keunikan tersendiri.
Menjadikan band-band seperti Sport (Perancis), Get Up Kids (Amerika Syarikat), Lukestar (Norway), Hurula (Sweden), Iron Chic (New Jersey, AS), dan Mew (Denmark) sebagai antara influence mereka, hasil tangan empat anak muda ini pada album terbaru mereka, ‘Dengan Ikhlas’, adalah sangat mengkagumkan.
Lebih membanggakan, album itu dirakam sendiri oleh band tersebut.
Album ‘Dengan Ikhlas’, pada penulis, mencerminkan kemantapan Milo Dinosaur sebagai sebuah band dalam menterjemahkan sebaik-baiknya segala pengalaman, semangat dan daya kreativiti mereka.
Kualiti ini selaras dengan tuntutan semasa.
Namun begitu, jika ditanya anggota-anggota Milo Dinosaur, mereka sendiri berasa susah untuk menerangkan atau menggambarkan sound band itu.
Ujar mereka, yang paling hampir, mungkin sound ’emo’ lewat 90-an yang ada unsur-unsur technical dan progresif.
Jelas gitaris band itu, Azim, lirik Milo Dinosaur menceritakan tentang perasaan mereka yang mencerminkan sesuatu situasi, perasaan atau kejadian.
“Sebagai contoh, lagu ‘Usah Resah’ adalah di mana Alang (drummer Milo Dinosaur) mencerminkan tentang mati, berdasarkan kisah abahnya yang meninggal lebih kurang dua tahun lalu kerana kanser paru-paru.
“Lagu ‘Kasih’ pula ditulis oleh Falique (bass dan vokal), ada dua maksud lagu tu. Ia tentang isterinya dan ia juga tentang perasaan Falique terhadap Tuhan,” katanya.
Untuk rekod, Milo Dinosaur terdiri daripada bekas anggota dan anggota semasa band Orbit Cinta Benjamin, Man Under Zero Effort, Sweet Ass, Sphere, Epaulard (41), Schloka, Triste, Gasoline Grenade dan sebagainya.
Milo Dinosaur pada tahun ini juga aktif melibatkan diri bersama band-band yang sedang berjerawaraya (touring bands) termasuk band dari luar negara seperti Silampukau, Pianos Become the Teeth, Chon, The Get Up Kids, The Adams, dan Boom Boom Kid selain bermain di festival indie, TAPAUfest.
Sementara itu, pemain bass dan penyanyi Milo Dinosaur, Falique berkata, perancangan band itu pada 2020 adalah untuk menerbitkan album baharu.
Dia juga memberitahu bahawa band tersebut berkemungkinan besar akan terus menyanyi dalam bahasa Melayu tetapi tidak menolak sebarang kemungkinan akan turut menulis lirik dalam bahasa Inggeris.
Ditanya kenapa Milo Dinosaur menyampaikan lagu mereka dalam bahasa Melayu ketika ini, Falique memberitahu, menulis dalam bahasa Melayu adalah lebih mudah berbanding inggeris.
Menurutnya, mungkin dia sudah bosan kerana band-band lainnya banyak menulis dalam bahasa Inggeris.
“Inspirasi untuk lirik selepas ini susah nak cakap. Saya banyak menulis ikut spontan dan tidak rancang kreativiti saya. Saya ikut keadaan atau masa tertentu. Alhamdulillah tuhan sentiasa bagi ilham yang baik pada kami,” katanya.
Dapatkan album ‘Dengan Ikhlas’ sekarang dan hubungi Milo Dinosaur di Instagram dan Facebook mereka atau Kedai Tapau.tv dan beberapa kedai music indie yang lain seperti Teenage Head Records.