MAHKAMAH Sesyen Sandakan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 terhadap seorang lelaki warga Filipina atas kesalahan memiliki 1,769 biji telur penyu hijau tanpa izin di Karamunting, minggu lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdu Rasah Amin, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.
Darmafikri turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mngikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bokara, Karamunting, jam 11.50 pagi, 15 Julai lalu.
Enakmen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimun RM250,000 selain penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pengawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar , Abdul Karim Dakog berkata, spesies penyu hijau atau nama saintifik, ‘Chelonia mydas’, dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Mahkamah turut mengarahkan telur penyu dirampas itu diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman. – SM