Nasional

BeRKAT 2022 julang kebitaraan UPSI dalam pengkaryaan tari

DEMI merealisasikan program sekolah BITARA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) bekerjasama dengan Kelab Warisan Tari (Kelab WARIS) dan Sekolah Seni Malaysia Perak (SseMPk) menganjurkan Bengkel Koreografi Tari UPSI 2022 (BeRKAT’22) pada 21 hingga 22 Julai 2022 bertempat di Studio Tari, FMSP, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin menganggap usaha FMSP dan UCTC menjayakan program BeRKAT’22 sebagai satu perkongsian kepakaran yang dimiliki UPSI bersama komuniti termasuk pelajar dari SseMPk.

Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli ( belakang empat dari kiri) dan Prof. Madya Dr. Mohd. Azam (tengah) bersama penggerak dan peserta BeRKAT’22.

“Komitmen ini akan melonjakkan nama UPSI sebagai sebuah universiti pendidikan yang tersohor yang memliki tenaga pakar dalam pelbagai bidang pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah di negeri Perak, “ katanya.

Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani yang merasmikan BeRKAT’22 pengisian program itu merangkumi enam sesi bengkel yang bersifat teori dan praktikal dan di penghujung program, setiap kumpulan diminta untuk menunjukkan proses koreografi masing-masing.

Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli menyampaikan ucapan perasmian sebelum BeRKAT’22 dimulakan.

Sementara itu, pensyarah tari daripada Jabatan Seni Persembahan, FMSP selaku Pengarah BeRKAT 2022, Dr. Nurulakmal Abdul Wahid berkata program bertujuan untuk mempersiapkan murid-murid Tingkatan Empat dan Lima untuk menghadapi penilaian salah satu daripada mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 iaitu Mata Pelajaran Koreografi Tari.


“Mata pelajaran Koreografi Tari memberi ilmu dan pendekatan kepada murid-murid dalam proses penghasilan karya tari berlandaskan kajian yang telah dilaksanakan,” katanya.

Seramai 15 orang murid dan lima guru dari Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMPk) terlibat dalam bengkel ini.
Dr. Nurulakmal mengendalikan bengkel bersama Nur Nabila Michael Luang Abdullah yang dibantu oleh ahli Kelab WARIS yang terdiri daripada pelajar program Sarjana Muda Seni Persembahan (Tari) serta program Diploma Tari.

Bagi pendidik di SSeMPk, Raja Norbaizura Raja Abdullah, program itu sangat membantu beliau serta rakan-rakan dalam mempertingkatkan kaedah pengajaran terutamanya dalam penulisan sinopsis yang baik bagi sebuah karya.

“Sinopsis ini pula menjadi panduan dalam mencari motif gerak yang bersesuaian untuk digarapkan dalam koreografi,” katanya.

Peserta BeRKAT’22 tekun menjalani latihan yang dikendalikan pakar tari FMSP UPSI.

Calon SPM 2022, Megat Hezreil Isqandar Megat Maz Ardi melahirkan rasa sangat teruja kerana berpeluang mengikuti sesi bengkel koreografi yang dikendalikan pakar dari FMSP UPSI.
“Saya baru sedar bahawa terdapat kaedah yang sistematik dalam membuat eksplorasi gerak dan ini merupakan impak yang positif kepada beliau kerana ia boleh digunakan dalam proses berkarya nanti, “ katanya.

Timbalan Dekan (Hal ehwal pelajar dan Alumni) yang juga Penyelaras Program BITARA, FMSP, Prof. Madya Dr. Mohd. Azam Sulong berkata pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) sentiasa menyokong pelaksanaan program seumpamanya untuk memberi perkhidmatan dan ilmu sebagai nilai tambah kepada komuniti setempat.

Secara umum, katanya, sambutan peserta terhadap program ini amat memberangsangkan dan mereka berharap ia dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang dengan pengisian yang berbeza tetapi masih dalam topik koreografi. -SM

(Visited 204 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button