Nasional

Zon Maritim Kuala Perlis tahan bot Kelas A tangguk siput

KESERONOKAN beberapa lelaki sibuk menangguk siput untuk dimasukkan ke dalam sebuah bot tidak lama.

Aktiviti haram yang dilakukan di dalam gelap dengan harapan tidak dikesan pihak berkuasa tetap terbongkar apabila ia dikesan oleh orang awam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan rutin menerusi Op Aman/Op Benteng Laut di sekitar perairan Perlis malam tadi tiba ke lokasi tangkapan berdasarkan maklumat awam.

Siput retak seribu yang ditemui dari bot yang ditahan.

“Sebuah bot Kelas A nombor pendaftaran KHF 1770 telah ditahan pada pukul lebih kurang pukul 2.40 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat Sungai Berembang, Perlis.

“Hasil  pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut yang berpangkalan di Jeti Kuala Kedah menceroboh masuk ke perairan Perlis untuk menangguk siput retak seribu secara haram tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 11 (3) (C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

“Ini merupakan tangkapan kedua dalam minggu yang sama bot Kelas A ditahan di perairan Perlis,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan telah menemui  tekong dan tiga awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berumur lingkungan 38 hingga 46 tahun berada di atas bot tersebut.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin dan siput retak seribu sekitar RM100, 960.00,” katanya.

Bot yang ditahan dibawa ke pejabat Zon Maritim Kuala Perlis. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Menurut beliau lagi, kesemua awak-awak termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan siput tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tindakan bot nelayan berkenaan yang melakukan penangkapan siput di kawasan berkenaan telah menyebabkan ekosistem marin terjejas dan menyebabkan nelayan tempatan kekurangan sumber pendapatan.

“Maritim Malaysia sentiasa mengambil maklum terhadap aduan berhubung pelanggaran undang-undang yang sebahagiannya membabitkan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha bot siput,” katanya.

Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 311 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button