BeritaEkonomi

MIHAS pemacu trend makanan halal dunia, pemangkin pertumbuhan ekonomi negara

KETIKA ekonomi dunia dalam proses penyesuaian berikutan kelembapan ekonomi global, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2020 tetap dijangka mencatat peningkatan urusniaga sekitar 5 peratus berikutan acara tahunan tersebut telah diiktiraf sebagai pemacu kepada trend produk halal dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa ketika melancarkan pameran tersebut mengunjurkan peningkatan nilai transaksi jualan sehingga lima peratus pada tahun hadapan berbanding RM1.6 bilion yang dicapai tahun ini.

Pertumbuhan pasaran halal

Sejak diperkenalkan 16 tahun lalu MIHAS kini menjadi pameran produk halal terbesar dunia yang tidak pernah surut urus niaganya, ditambah pula dengan pertumbuhan ekonomi China dan kesedaran negara Korea dan Jepun yang melihat produk halal sebagai bersih dan sihat, selain negara-negara Islam di seluruh dunia serta pengusaha tempatan.

Mengikut kajian Thomson Reuters pada tahun 2018 sahaja nilai prospek bisnis produk halal mencecah hampir RM20 trilion dan dijangka berkembang kepada lebih RM24 trilion menjelang tahun 2024.

Oleh itu apabila Wan Latiff meletakkan sasaran 35,000 pengunjung dari 90 buah negara dan menyasar kunjungan lebih 35,000 pengunjung pada MIHAS yang temanya ‘Expand Your Halal Horizon’, ia adalah sesuatu yang mampu dicapai, lantaran kesedaran masyarakat dunia dan tempatan semakin meluas terhadap acara tahunan itu.

MIHAS 2020 edisi ke-17 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu akan berlangsung pada 1 hingga 4 April depan, bakal menempatkan lebih 1,200 gerai pameran bukan saja dari syarikat tempatan tetapi juga syarikat luar seperti dari negara ASEAN, Asia Tengah, Asia Barat, Afrika dan Amerika Syarikat.

Peluang ini tidak harus dilepaskan oleh syarikat tempatan untuk mencari rakan kongsi perniagaan di peringkat antarabangsa.

Melangkaui produk makanan

Produk halal bukan sahaja terbatas kepada makanan, tetapi kini ia telah menjadi gaya hidup termasuk fesyen halal dan pelancongan halal. Jadi tidak hairan jika bukan penganut Islam sendiri mula tertarik dengan busana muslimah yang sopan serta pada masa yang sama masih mengekalkan keayuan pemakainya.

Pelancongan halal juga bukan sahaja terhad kepada makanan halal, bahkan di negara seperti Jepun dan Korea kini disediakan kemudahan penginapan untuk muslim yang memudahkan penghuni untuk menunaikan solat dan pada masa yang sama mudah mendapatkan makanan yang halal.

Apabila penginapan halal sudah pasti ia bersih dan makanan halal pula tentunya sihat dan berkualiti. MIHAS 2020 melangkaui produk makanan akan mempamerkan beberapa sektor halal yang kukuh termasuklah makanan dan minuman; pengeluaran teknologi makanan; farmaseutikal; kosmetik; logistik; pelancongan dan kewangan islamik.

Kepekaan penganjur menjadi acara berkenaan sentiasa relevan dan ditandai sebagai pameran yang harus disertai serta penting.

Peranan MIHAS dalam perdagangan Halal

Setiap tahun penganjuran MIHAS akan diserbu oleh pempamer dari seluruh dunia khususnya dari syarikat tempatan yang merupakan 60 peratus daripada jumlah peserta tahun hadapan. Ini adalah kerana pameran tersebut menjadi pusat sehenti kepada syarikat tempatan untuk bertemu dengan para pempamer dari luar negara dan sekali gus membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa dengan kos yang minimum.

Kos adalah isu utama bagi syarikat yang bersaiz kecil dan sederhan. Walaupun terdapat platform e-dagang ia tidak begitu berkesan kepada para pedagang terutama kecil dan sederhana dalam negara kerana mereka sering dikenakan bayaran pendaftaran dan keahlian yang terlalu tinggi jika dibandingkan hasil yang diperolehi.

Para pelayar e-dagang pula lebih gemar untuk membandingkan harga sebelum mereka membuat keputusan membelinya di premis pilihan. Jadi pertemuan bersemuka akan memberi kelebihan kepada para peniaga untuk menyelesaikan isu logistik dan pembiayaan secara halal.

Cabaran MIHAS

Isu sijil halal masih menjadi topik yang perlu diselesaikan dan pembabitan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada kali ini pastinya sangat signifikan bagi membincangkan isu tersebut, memandangkan setiap negara mempunyai kaedah penilaian yang berbeza bagi produk halal dan ini menyukarkan pedagang yang melibatkan di dalam industri berkenaan.

JAKIM mungkin boleh turut mengundang badan-badan dari negara terbabit untuk sama-sama merangka garis panduan yang standard untuk diguna pakai dan pada masa yang sama memudahkan para peniaga memperolehinya.

Tahun 2020 penting bagi Malaysia

Tahun 2020 akan menjadi tahun yang penting bagi Malaysia kerana ia akan menjalankan operasi pelbagai pelan untuk memacu agenda kemapanan negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Kemapanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG). Kemapanan menggalakkan perniagaan yang bertanggungjawab dan menjalankan amalan baik menuju persekitaran, sosial dan tadbir urus yang lebih baik.

Oleh itu MIHAS 2020 adalah pelengkap kepada inisiatif itu dan diharap menjadi salah satu acara yang akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara yang terjejas oleh kelembapan ekonomi global.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button