fbpx
BeritaHiburan

Daut Kilau tatap baju labuci bila rindukan peminat

Penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau walaupun masih boleh bernyanyi, tetapi kerana kesukaran berdiri menolak tawaran membuat persembahan walaupun hanya duduk di atas kerusi.

Beliau mengakui sudah sampai masanya beliau melupakan dunia hiburan disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu ‘Cek Mek Molek’ dan ‘Gila Judi’ itu, kini beliau sudah tidak mampu untuk berdiri apatah lagi untuk menari atau ‘bergelek’ di atas pentas.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Balai dekat sini, beliau berkata, masalah kesihatan yang dialaminya berlarutan selepas komplikasi membuang air kecil pada tahun 2016.

“Selepas itu saya masih mampu lagi memenuhi undangan membuat persembahan namun setahun kemudian, kesihatan saya semakin teruk. Sekarang saya membuat rawatan susulan dua atau tiga minggu sekali di klinik dan hospital.

“Saya menghidap sakit kencing manis, kebas kaki dan tangan serta pinggang yang rasanya sakit sangat.

“Saya dah tak larat nak berdiri dan bergelek di atas pentas lagi. Tak boleh nak buat persembahan lagi,” katanya.

Menurutnya, akibatnya beliau terpaksa menolak semua tawaran membuat persembahan termasuk di Singapura oleh kumpulan Black Dog Bone.

Katanya, walaupun beliau ditawarkan untuk ‘duduk’ sahaja di atas pentas, tetapi beliau tetap menolak.


“Saya menolak untuk membuat persembahan kerana saya tak boleh berdiri lama, saya selalunya lincah di atas pentas.

“Kalau datang duduk saja (di atas pentas) tak elok. Tak kan nak tunjuk muka saja. Black Dog Bone kata datang saja, mereka buat persembahan dan saya duduk saja.

“Tak nak saya. Belum pernah saya buat macam tu, kecualilah saya tetamu jemputan yang hanya datang dan duduk saja.

“Mereka beri duit, tambang kapal terbang, hotel, tak kan saya datang nak duduk sahaja. Jadi saya minta maaf kepada mereka yang membuat tawaran, saya tak dapat memenuhi undangan mereka kerana masalah kesihatan yang saya alami,” katanya.

Menurutnya, setelah berpuluh tahun menjadi penghibur, beliau mengakui kadang kala rindukan para peminatnya.

“Kalau rindukan peminat, saya tatap koleksi baju labuci yang masih saya simpan dengan rapi,” katanya.

Menurutnya, selama menetap di kampung, beliau juga pernah cuba mengusahakan tanaman kelapa matag dan koko.

“Namun tanaman yang saya usahakan tak menjadi sebab saya dah tak larat. Saya berharap peminat mendoakan kesihatan saya,” katanya.

Menurutnya, beliau kini tidak mempunyai apa-apa perancangan dalam dunia hiburan.

“Saya hanya mahu menghabiskan sisa hidup ini, berapa lama lagi Allah bagi saya.

“Saya bersyukur sampai sekarang Allah memberi nafas kepada saya,” katanya.

Artikel dipetik dari Facebook Perak Gazette

Show More

Related Articles

Back to top button