Nasionalpilihan

Microsoft umum pelaburan AI, infrastruktur awan AS$2.2 bilion di Malaysia

Microsoft mengumumkan untuk melabur AS$2.2 bilion (RM10.48 bilion) dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur awan di Malaysia, untuk tempoh empat tahun akan datang.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satya Nadella berkata, pelaburan itu termasuk membina infrastruktur digital, mewujudkan peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.
“Perkara yang saya sangat teruja untuk umumkan hari ini ialah pengumuman pelaburan AI dan pembangunan infrastruktur awan sebanyak AS$2.2 bilion di Malaysia.
“Kami mahu memastikan bahawa kami mempunyai infrastruktur bertaraf dunia di negara ini supaya setiap organisasi, pembangun perisian dan syarikat pemula niaga boleh menggunakannya, bukan sahaja untuk negara ini tetapi untuk dunia dan rantau ini,” katanya ketika memberi ucaptama mengenai Era Baharu AI di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu Nadella yang dalam rangka lawatan sehari ke negara ini turut bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Anwar dalam kenyataan turut memberitahu bahawa Nadellaa memaklumkan bahawa gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah USD2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang.
Jumlah ini adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan Kecerdasan Buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.
Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.

Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus Kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara.

“Usai kunjungan hormat, saya dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum.

“Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.

“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” kata Anwar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button