Mesut Ozil selamatkan maskot Arsenal
PEMAIN tengah Arsenal, Mesut Ozil bersedia membayar gaji Gunnersaurus agar pekerjaan maskot itu dapat dikembalikan setelah dia diberhentikan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan penjimatan kos ekoran Covid-19.
Jerry Quy telah bekerja sebagai maskot Arsenal selama 27 tahun, tetapi dia dilepaskan daripada perkhidmatnya itu pada hari terakhir jendela perpindahan di buka berikutan peminat tidak lagi dibenarkan hadir ke stadium menyaksikan perlawanan.
Satu usaha kutipan derma digerakkan untuk peminat setia Arsenal, Jerry, tetapi Ozil telah tampil dengan janjinya untuk membayar gaji Gunnersaurus selagi dia masih berkhidmat di kelab tersebut.
Menerusi Instagram, Ozil menulis: “Saya sangat sedih kerana Jerry Quy aka maskot Gunnersaurus yang terkenal dan setia serta turut memainkan peranan penting kepada kelab kita tidak lagi diperlukan khidmatnya selepas 27 tahun.
“Oleh itu, saya menawarkan untuk membayar balik kepada Arsenal dengan gaji penuh buat lelaki besar hijau kita selagi saya masih menjadi pemain Arsenal, jadi, Jerry dapat meneruskan pekerjaannya yang sangat dia cintai itu.”
Keputusan kelab itu telah menjadi perbualan dalam kalangan peminat Arsenal, dengan bekas bintang Gunners, Paul Merson mengakui dia berasa sedih dengan apa yang telah terjadi.
“Sukar untuk percaya. Kesemua mereka adalah kanak-kanak, peminat muda Gunners, terdapat peminat yang berusia 30 dan 40 tahun yang membesar dengan dinosaur tersebut. Ia amat mengecewakan, saya rasa Arsenal telah membuat satu keputusan yang buruk,” kata Merson kepada Sky Sports.
Keputusan Ozil itu dibuat pada ketika Mikel Arteta merancang untuk menyingkirkan pemain tersebut daripada skuad 25 pemainnya untuk saingan Liga Perdana Inggeris selepas Thomas Partey menyertai kelab tersebut.
Pemain Jerman itu hanya memiliki baki kontrak selama setahun bersama Arsenal, tetapi dia telah dipinggirkan oleh kelab utara London itu dan masih belum beraksi untuk musim ini. – Mirror UK – SM