Bola SepakSukan

Messi bukan untuk dijual

PRESIDEN Barcelona, Josep Bartomeu mendedahkan bintang-bintangnya yang tidak akan dijual, pada musim panas ini dalam usaha kelab itu menstruktur kembali pasukan.

Bartomeu yang enggan melepaskan jawatannya telah memberikan satu temu bual yang panjang bersama Barcelona TV dan mendedahkan bagaimana kelab Catalan itu akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad mereka.

Apa yang lebih penting, pengurus Ronald Koeman melihat Lionel Messi sebagai sebahagian daripada tonggak utama projeknya bagi merombak pasukan, dan terdapat lapan pemain secara keseluruhan tidak akan dibenarkan meninggalkan kelab itu.

Ekoran kegagalan mereka merangkul gelaran La Liga yang terlepas ke tangan Real Madrid dan kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara, kebanyakan pemain di dalam skuad itu bakal disingkirkan.

Namun Bartomeu berkata: “Messi tidak boleh disentuh dan pemain itu tidak akan dijual. Dia tahu tentang itu dan kami juga mengetahuinya.

“Tetapi terdapat beberapa pemain lagi yang tidak akan dijual (Marc Andre) Ter Stegen, (Clement) Lenglet, (Nelson) Semedo, (Frenkie) De Jong, (Antoine) Griezmann, (Ousmane) Dembele… pemain yang kami anggap sebagai masa depan pasukan.”

Pemain muda sensasi berusia 17 tahun, Ansu Fati satu lagi nama yang dianggap sebagai sebahagian daripada masa depan pasukan.

“Sebagai contoh, kami telah pun mengemukakan tawaran kepada Ansu Fati. Barca tidak berminat menjual pemain, walaupun kami ada menerima beberapa tawaran.

“Kami tidak mahu menjualnya. Dia mempunyai masa depan yang cerah. Saya maklumkan kepada anda, dia bukan untuk dijual,” kata Bartomeu.

Philippe Coutinho pula akan kembali ke Nou Camp selepas dia meledakkan dua gol menentang kelab majikannya untuk Bayern pada suku akhir dan perancang Brazil itu mungkin boleh memainkan peranan besar, musim depan.

Bartomeu yang bersedia membuka pintu kepada bekas pemain Liverpool itu berkata: “Ketua jurulatih akan membuat keputusan. Jika dia mahukan khidmat Coutinho, tahun depan dia akan bermain dengan kami.”

Bartomeu, 57, turut menegaskan bahawa Messi tidak akan ke mana-mana memandangkan pemain itu amat penting kepada kelab.

“Saya telah pun bercakap dengan Koeman dan insan penting kepada projek kami iaitu Messi. Dia masih memiliki kontrak sehingga 2021, saya sering berbual dengan Leo dan lebih kerap bercakap dengan bapanya.

“Dia pemain No. 1 dunia. Tidak diragui lagi bahawa projek baharu Koeman ini anda boleh meletakkan kepercayaan kepada Messi,” jelasnya.

Koeman bakal mewarisi skuad dibarisi rata-rata pemain berusia yang amat memerlukan pembangunan semula dan dia dijangka mengambil alih tempat Quique Setien yang dipecat.

Setiausaha teknikal, Eric Abidal turut dipecat selepas kekalahan memalukan di tangan Bayern.

Ramai yang menggesa agar Bartomeu memecat dirinya sendiri, tetapi dia berkata: “Saya tidak akan meletakkan jawatan, saya mahu menyusun perancangan untuk musim depan. Memang mudah meletakkan jawatan sekarang, tetapi ia satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Kami berdepan krisis berkaitan sukan dan bukannya institusi.” Daily Mail UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button