Meroyan pasal air…
AZABNYA apabila tiada air, apatah lagi bagi mereka yang tinggal di apartment. Lebih terasa bagi kediaman yang tiada lif, terpaksa mengangkut dari bawah ke atas mendaki tangga dengan beban yang berat.
Bagi yang masih muda dan berupaya, mungkin penatnya tidak seberapa teruk dengan apa yang dirasai mereka yang telah berusia UNTUK .
Menjinjit baldi di kiri dan kanan, satu cabaran fizikal.
Air yang diambil belum tentu selamat dan terus boleh diminum walaupun kelihatan bersih jernih.
Di Lembah Kelang, apabila berlaku gangguan bekalan air, Air Selangor atau dulunya dikenali Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) seringkali menggunakan alasan ia berpunca dari pencemaran dan dikesan di loji rawatan air.
Ia bermakna, sebelum dikesan mengandungi bendasing, air berkenaan telah mengalir ke premis atau kediaman dan sudahpun “selamat” memasuki badan pengguna.
Tidak dapat tidak, untuk minum dan memasak, terpaksalah juga mencari sumber air dari dalam botol.
Dalam tempoh sehari dua, “air mineral” mendapat permintaan luar biasa dan kebanyakan pengguna masih keliru dengan penggunaan istilah itu.
Asalkan air bersih dalam botol, disangkanya air mineral walaupun tertera proses “osmosis berbalik”, iaitu air paip yang dirawat!
Ia dua kategori berbeza sebenarnya.
Air mineral adalah berasaskan sumber air bawah tanah. Bukannya dari tasik atau sungai.
Ketika berlegar-legar pada Sabtu untuk mencari stok bekalan air, penulis tergangga selepas bertanya sebotol air mineral 500ml di salah sebuah premis di NSK Kota Damansara. Bagi jenama “cap ayam” ia dijual dengan harga RM1.80 sebotol.
Apa yang berlaku sekarang menambah dugaan sedia ada.
Dalam keadaan yang mendesak, pengguna terpaksa sekali lagi menggeluarkan belanja yang tidak sepatutnya selepas terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Krisis bekalan air kedua sepanjang tempoh berkenaan menjadi “buah mulut” kerana kebanyakan pengguna yang terjejas tidak lagi dapat “menghadam” cara yang digunakan pihak berkaitan bagi menangani isu ini.
Meskipun pengumuman dibuat, namun adakah pihak berkaitan memastikan mesejnya sampai dengan segera kepada pengguna?
Ramai yang terkejut dengan gangguan bekalan air kali ini sehingga terpinga-pinga.
Lebih 1.2 juta akaun di 1,292 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat telah terjejas dan jika ia dinisbah dengan pengguna, jumlahnya mungkin tiga kali ganda.
Alla kulli hal, kita di sini melalui dugaan ini dalam keadaan yang masih aman. Tiada air, masih banyak pilihan. Boleh balik kampung, makan di luar, pergi ke kawasan berdekatan yang ada air dan macam-macam lagi.
Berbeza dengan mereka di kawasan konflik khususnya di Asia Barat.
Apalah sangat ujian krisis bekalan air yang kita hadapi dengan mereka di sana yang sedang bertarung dengan kekurangan makanan dan suhu panas melampau khususnya di Syria yang kini mencecah 44 selsius.
Namun dalam keadaan cuaca yang ekstrem, negara berkenaan kaya dengan sumber air bawah tanah tetapi apa yang menjadi cabaran, selain permukaan bentuk muka bumi yang berbatu batan, ia berada jauh ke dalam.
Ia satu dugaan untuk mendapatkan sumber air kepada mereka di sana.
Namun hasil sumbangan wakaf yang diterima membolehkan kerja-kerja penggalian dilakukan bagi menjayakan Wakaf Telaga Fatimah di Kampung Malaysia Syria Care, Projek Perumahan Pelarian Syria di Al Bardaqli, Atma utara Syria.
Apabila siap kelak, ia akan dapat memberi manfaat kepada 292 keluarga yang akan mendiami penempatan berkenaan pada Oktober depan.- SM