Politik

Mereka baca hadis, al-Quran tapi pertahan orang rasuah – Anwar

Datuk Seri AnwarAnwar Ibrahim berkata, beliau kecew dengan sikap pemimpin politik yang pertahankan mereka yang rasuah.

Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan baca hadis dan al-Quran, tetapi mempertahankan golongan yang rasuah serta menganiaya rakyat.

“Tak pernah saya arah suruh tangkap orang itu, siasat orang ini. Saya kata siapa yang ambil rasuah, tak peduli daripada Pakatan Harapan (PH), PKR, UMNO, Pas, (atau) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika didapati salah sila siasat, tangkap, dakwa, dan jika bersalah masuk penjara.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang siasat, ada bukti kita dakwa, contohnya kes Jana Wibawa, kes tebatan banjir. Tapi mereka kata saya pendendam. Mereka cakap berdegar-degar pasal hadis dan al-Quran tetapi pertahan orang yang ambil rasuah, kemudian kita yang ambil tindakan dipersalahkan, kononnya aniaya rakyat dan menganaktirikan negeri pembangkang,” katanya ketika berucap pada Himpunan Madani Kedah di Dataran Stargate di sini, pada malam Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan negeri pembangkang, malah menyalurkan tambahan peruntukan termasuk Kedah.

“Ada yang cakap Anwar menganaktirikan negeri pembangkang, itu fitnah.

Empat negeri dipegang Pas, saya tambah peruntukan termasuk di Kedah. Di Kelantan berlaku banjir teruk dan saya tambah satu projek tebatan banjir di Sungai Golok RM1 bilion. Bukan saya pro-Kelantan tetapi pro-rakyat yang susah walaupun mereka tak sokong saya,” ujarnya.

Anwar tegaskan, tidak pernah menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri dengan mencampuri urusan perundangan.

“Saya ada kuasa sebagai Perdana Menteri tetapi bukan untuk siasat, itu kerja polis dan SPRM, pendakwaan pula kerja Peguam Negara sementara jatuhkan hukuman itu kerja Ketua Hakim, bukan kerja Anwar Ibrahim.

“Saya tahu erti fitnah, erti sakit bila dipukul, saya tahu erti menderita hidup dalam lokap. Apa erti bila jadi Perdana Menteri, saya zalim pada orang? Saya masuk penjara, (tak kan) saya kena penjarakan kamu. Saya datang bukan untuk bermusuh dengan sesiapa,” katanya.

Menurutnya lagi, sudah tiba masanya rakyat Kedah menyokong Kerajaan Perpaduan agar dapat membangunkan semula negeri dan nasib golongan miskin lebih terbela.

“Saya pun bukan muda lagi dah 76 tahun, kalau diberikan kudrat dan kesihatan, saya mahu tunjukkan bawah pimpinan Islam, kita boleh tadbir dengan baik dan tegakkan keadilan bagi semua rakyat. Saya harap anak muda bantu bawa perubahan ini, bukan dengan kebencian tetapi dengan kasih sayang.

“Saya syukur kerana ramai rakyat sudah mula buka mata, terutama anak-anak muda. ALLAH SWT bagi kita fikiran, nilai dan fikirkan,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button