Politik

Menteri Kesihatan tuntut RM30 juta, permohonan maaf terhadap C4

PUSAT Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dituntut untuk membayar ganti rugi berjumlah RM30 juta dan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Pertubuhan Bukan Kerajaan itu sebelum ini mendakwa Adham mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas satu kontrak dengan nilai RM30 juta.

NGO itu mendakwa Adham mempunyai kaitan dengan firma tersebut melalui seorang pemegang saham dalam syarikatnya yang memiliki rangkaian klinik swasta di Johor.

C4 mendakwa, pemegang saham itu menganggotai lembaga pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang termasuk dua orang pengarah dari Khazanah Jaya.

Peguam yang mewakili menteri, Nasser Yusof berkata, C4 dikehendaki membayar ganti rugi serta membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Semalam, Adham menolak dakwaan C4 yang menyifatkannya sebagai cubaan berniat jahat untuk membunuh karakternya.

Satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat menteri itu berkata, Adham tiada kepentingan perniagaan dalam Khazanah Jaya Sdn. Bhd., yang dinamakan C4 atau sebarang hubungan dengan pemegang sahamnya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button