Politik

Menteri kabinet, bukan malaikat

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan senarai kabinetnya hari ini atau selewatnya esok.

Muhyiddin perlu menyelesaikan segera urusan berkenaan kerana pentadbiran negara tidak berfungsi selagi menteri kabinet tidak dilantik.

Ini akan menguji tahap kebijaksanaan beliau dalam memastikan kabinet yang dilantik bukan sahaja seimbang dan stabil bagi Perikatan Nasional, tetapi juga berfungsi dengan baik.

Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak jawatan di dalam kabinet, tetapi Muhyiddin perlu menimbangkan dengan bijak supaya kedua-dua presiden yang mewakili parti utama di dalam perikatan tidak diketepikan.

Para pemimpin UMNO khususnya menyatakan sokongan kepada Zahid untuk turut berada di dalam kabinet sebagai menghormati jawatan beliau sebagai presiden parti.

Padangan sedemikian juga harus diambil kira oleh Muhyiddin supaya ia tidak menjadi punca kepada percakaran di dalam kerjasama yang baru sahaja dibentuk.

Walaupun ada cakap-cakap Zahid kini berdepan dengan tuduhan di mahkamah, tetapi selagi belum diputuskan bersalah, maka beliau perlu dilayan sama seperti warga negara lain.

Bak kata Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, memilih barisan kabinet bukan dalam kalangan malaikat. Fitrah manusia pasti ada melakukan salah dan silap.

Katanya lagi, pepatah Melayu ada menyebut bahawa Tiada rotan, akar pun berguna.

Jika akar itu dapat mengikat ukhuwah dan keterangkulan perikatan, jadi apa salahnya ia digunakan.

Apatah lagi kes-kes yang dihadapi oleh Zahid pada masa ini memang ketara terlalu bermotifkan politik.

Zahid ialah seorang insan mulia dan berjiwa besar. Walaupun beliau yang memimpin UMNO sejak 22 bulan yang lalu selepas kalah mengejut pada pilihan raya lalu, tetapi menawarkan diri untuk tidak dilantik sebagai menteri kabinet.

Zahid merupakan insan yang memimpin para pemimpin bagi membina kembali UMNO yang jatuh tertiarap kerana kekalahan dan tekanan yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Zahid memang pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri semasa Barisan Nasional memerintah dan pengalaman itu sangat berguna untuk negara yang berdepan yang pelbagai krisis dan kemelut terutama politik dan ekonomi.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang perlu diberi perhatian oleh Muhyiddin ialah Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau seorang pemimpin yang berpengalaman dan pernah menjawat jawatan menteri kewangan semasa perdana menteri Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peringkat awal ini kabinet mungkin tidak perlu terlalu besar, apa yang lebih penting ia berfungsi dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada pentadbiran negara yang stabil dan harmoni.

Kini semuanya terserah kepada kebijaksanaan beliau untuk mengatur dan menyusun.

Mungkin sedikit panduan yang boleh diambil iktibar oleh Muhyiddin bagaimana perjalanan politik Allahyarham Datuk Seri Adenan Satem.

Ketika beliau menjadi menteri di peringkat negeri dan nasional, Adenan bukan dalam kalangan mereka yang popular serta digemari.

Tetapi setelah dipilih menjadi Ketua Menteri Sarawak, sentuhan beliau kekal terpahat di dalam ingatan dan sangat disayangi rakyat negeri Bumi Kenyalang. Bahkan menimbulkan kekaguman rakyat seluruh negara.

 

 

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button