Menikmati “Bingsu Bihun” yang “rare” di pekan Satun
MASUK restoran ini kena pilih makanan yang “rare”, jangan pilih makanan yang sudah biasa makan di Malaysia.
Itulah pesanan pemandu pelancong yang dikenali Zul, warga Thailand keturunan Melayu yang menjadi “pilot” van rombongan Cik Bella seramai 10 orang ke Satun.
Lagi sekali “one day trip”, jalan-jalan cari makan di Satun atau kami orang Perlis sebut “Setoi” terlaksana.
Sebelum ini memang sudah ada rancangan hendak makan di Satoy Cafe di pekan Satun tetapi tertangguh kerana itu kerja-kerja penambahbaikan restoran sedang dijalankan.
Disebabkan pesanan ini maka tidak dapat tidak, menu “killer” di Satoy Cafe iaitu Bingsu mesti menjadi pilihan.
Bingsu ini memang “rare” kerana rupa parasnya.
Bila melihat katalog, masing-masing sudah serba-salah mahu memilih yang mana satu.
Tidak dapat dinafikan, bentuk persembahan Bingsu di Satoy Cafe memang sangat menarik perhatian.
Rupa Bingsunya memang “rare” kerana berbentuk empat segi yang dilarik seperti bihun.
Boleh dikatakan inilah “Bingsu Bihun”.
Ia ditambah dengan satu skop ais kerim mengikut jenis Bingsu selain ada tambahan “cornflake”, buah, krim dan juga susu pekat manis.
Hariza Abdul Rashid, 52 sekalipun mulanya tidak tahu memilih mana satu Bingsu tetapi akhirnya membuat keputusan memilih “Pink Milk Bingsu” kerana tertarik dengan warna.
“Saya mesti cuba kerana sebagai peminat Bingsu, pertama kali saya melihat Bingsu macam bentuk bihun yang cantik,” katanya.
Manakala Nur Nabilah Ridzuan, 21, pula memilih “Green Tea Bingsu” kerana dia memang meminati teh hijau.
Beliau berpuas hati dapat menikmati Bingsu ini yang disajikan dalam saiznya agak besar sehingga berkongsi bersama dengan kawan-kawan.
Masing-masing mengakui tidak ralat sekalipun membayar dengan harga Bath 169 atau RM22 bagi setiap hidangan kerana sudah terlaksana hasrat menikmati “Bingsu Bihun” yang sangat “rare” ini. – SM