Mengapa Tok Zahid, Tok Mat tak senada, seirama?
SUATU ketika UMNO ibarat pohon yang kuat. ‘Suatu ketika’ itu pun bukan 20 tahun lalu atau dua dekad lepas, tetapi baru 25 atau 26 bulan lalu sahaja.
Pada 9 Mei 2018 semasa Barisan Nasional dianggotai 13 parti ditunjangi UMNO, parti ini masih kuat, memiliki 54 kerusi mengatasi PKR (47) dan DAP (42).
Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu waktu itu hanya memiliki 13 kerusi Parlimen sahaja, kurang lagi dari Pas yang menang 18 kerusi.
Malangnya berdikit-dikit dalam tempoh 26 bulan ini Bersatu tambah kerusi Parlimennya, menjadi 31 kerusi dalam tahun 2020 ini.
Apa sudah jadi? Serba tak kena, segalanya tidak menjadi pada UMNO. Sudahlah pilihan raya negeri Sabah ke-16 yang baru berakhir 26 September lalu UMNO ibarat melukut di tepi gantang. Menang cuma 14 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, terpaksa `gigit jari’ lagi tunduk kepada Bersatu yang cuma menang 11 kerusi. Tapi dek Bersatu, pemimpinnya seorang Perdana Menteri, terpaksalah UMNO akur.
Justeru, apa pilihan UMNO? Isu dalam politik ini satu sahaja, masing-masing ahli parlimen atau ADUN terpaksa fikirkan `tembolok’ sendiri. Kalau tidak ada semangat jati diri dalam parti seperti mana Belang tabik kepada DAP yang utuh prinsip perjuangannnya, akhirnya UMNO tidak ada apalah lagi nanti.
Menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dalam dua setengah tahun lagi, UMNO tinggal sisa sahaja. Eh! mengapa Belang kata dua setengah tahun, tidak bulan Disember nanti atau sebelum suku tahun 2021 PRU-15 akan diadakan?
Ya, Belang tak fikir kerajaan Perikatan Nasional akan buat PRU mengejut atau snap election. Apa mudah-mudah Bersatu mahu memperjudikan diri menyerahkan kuasa kepada PRU-15? Sedangkan dua tahun setengah itu merupakan tempoh masa panjang untuk mengukuhkan kuasa dan imej Perdana Menteri. Takkanlah setiausaha agung PN mahu duduk diam sahaja setelah berjaya membuktikan taringnya dalam PRN Sabah dengan meletakkan seorang pemimpin Bersatu di takhta kerusi ketua menteri.
Itu baru peringkat awal `belangnya’. Masakan juga pemimpin-pemimpin PN kurang cerdik sampai ke tahap rela hilang kuasa dengan membubarkan Parlimen? Apa jaminan mereka akan berkuasa kembali?
Kerana itulah jika UMNO masih lagi berkecamuk, sampai tidak mahu ambil iktibar dari insiden terbaharu keputusan PRN Sabah baru-baru ini, Belang tak terkata apa dah.
Hari ini Belang perhatikan timbalan presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terus memberi tekanan kepada presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya memperjelaskan hala tuju UMNO selepas episod mendukacitakan di Sabah. Semua orang boleh baca kenyataan Tok Mat ini yang dilontarkan dalam Facebook, meskipun ikut etika harus diluahkan dalam mesyuarat Biro Politik.
Tok Zahid, Tok Mat, Ku Li (Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah), tiga naib presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Pemuda Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan harus duduk bersemuka dan berbincang tentang survival UMNO.
UMNO juga memiliki tenaga yang tidak kurang hebatnya seperti Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; si ultra Melayu, Datuk Seri Tajuddin Rahman; Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan bossku, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mana-mana parti politik akan ada ‘Abu Jahal’nya. Cuma parti yang mahu survive dalam merenangi arus gelombang aplikasi WhatsApp hari ini perlu segera mencantas dedalu-dedalu ini.
Cuma soalnya, adakah dedalu-dedalu ini akan membesar dan merimbun di pokok rendang?
Tok Zahid dan Tok Mat, anda berdua orang nombor satu dan nombor dua UMNO. Fikirkanlah sesuatu supaya UMNO tidak berbaki sisa sahaja dalam setahun dua mendatang ini.
-SM