Sukan

Mengapa Rossi hanya ikat kontrak setahun bersama pasukan Malaysia?

Usia menginjak semakin mendekatkan Rossi dengan persaraan

LEGENDA Itali, Valentino Rossi telahpun menginjak usia 41 tahun pada tahun ini tetapi dia masih kekal kompetitif bersaing dalam perlumbaan kejuaraan motosikal dunia dengan pelumba kedua tertua selepasnya memiliki jurang usia tujuh tahun. Juara dunia sembilan kali itu sedar, dia kini berlumba dengan pesaing yang jauh lebih muda daripadanya.

Boleh dikatakan Rossi kini semakin berada di penghujung kariernya dan adakah kontrak setahun yang ditandatanganinya bersama pasukan Malaysia, Petronas SRT Yamaha memberi bayangan tentang hasratnya itu?

Biasanya dalam kejuaraan motosikal dunia, pelumba sehebat Rossi akan menandatangani kontrak paling singkat pun selama dua tahun tetapi situasinya berbeza dengan Rossi, dia hanya ditawarkan kontrak setahun.

Bagaimanapun, Rossi masih keberatan untuk mengakui persaraan kian menghampiri kariernya apabila dia sendiri menepis persoalan tersebut.

Mengulas mengenai kontraknya selama setahun, Rossi berkata, jangan pula salah anggap yang dia akan bersara pada penghujung 2021, ini kerana dia enggan memulakan musim dengan mendedahkan bahawa ia merupakan tahun terakhirnya berlumba.

“Kontrak setahun bersama Petronas SRT Yamaha untuk musim MotoGP 2021 bukan petanda saya akan bersara dan saya hanya menerima perpindahan ini selagi saya masih diberi jentera factory M1,” tegasnya.

Bagi bos Yamaha, Lin Jarvis pula secara terbuka mendedahkan perbualannya dengan Rossi.

“Setahun itu bagus (kontrak), tetapi saya tidak mahu memulakan tahun depan dengan perancangan perlumbaan musim itu adalah yang terakhir.

“Jadi, Vale (Valentino) berkata, dia mahu kekal motivasi untuk mempamerkan persembahan yang baik, jika dia masih seronok dan berjaya buktikan dirinya masih laju, maka ada potensi untuknya meneruskan kariernya. Jadi, agak cepat kami mencapai persetujuan dan Yamaha juga sama,” kata Jarvis yang dipetik kenyataannya daripada Crash.net.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan Rossi bersama Petronas SRT Yamaha, jelas Jarvis, pelumba itu akan mendapat jentera yang sama seperti Maverick Vinales dan Fabio Quartararo pada pusingan pembukaan 2021.

“Jika ada sebarang perubahan kita akan maklum kemudian, namun, sekiranya tiada apa-apa perkembangan kita tidak akan berbuat demikian.

“Valentino tahu tentang hal ini, kita hanya boleh melakukan perubahan jika kita bergerak maju ke depan dan masa juga sangat terhad, jadi, keutamaan akan diberi kepada pasukan factory.

“Kami mempunyai kontrak bersama Jepun, Malaysia dan Itali, jadi ia agak rumit, tetapi kami berjaya menyelesaikannya dan memastikan Valentino dapat meneruskan kariernya dalam sukan ini amat penting untuk MotoGP kerana salah jika kami cuba menyekat kariernya dalam situasi Covid-19 melanda tahun ini. Memang hebat dia dapat kekal bersama kami,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang rundingan sehinggalah membawa kepada penyertaan Rossi bersama pasukan Malaysia, pelumba itu berkata, perbincangan telah bermula sejak Januari lalu, apabila mendapat tahu dia akan diketepikan daripada skuad Yamaha Factory pada kejuaraan motosikal dunia bagi musim 2021.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan keputusan ini kerana saya mahu terus berlumba. Perancangan saya ialah memulakan musim dan kita akan lihat sama ada saya masih kompetitif. Saya telah banyak bercakap dengan Lin, Yamaha dan pasukan Petronas.

“Saya telah lama bersama pasukan Factory Yamaha, tetapi saya rasa perpindahan ini bagus untuk saya dan saya berterima kasih kepada Lin dan Yamaha kerana mereka terus memberi sokongan jentera factory.

“Saya tidak fikir akan ada banyak perubahan, yang bertukar hanyalah warna motosikal kerana Petronas berada di tahap yang tinggi dan sangat profesional dengan banyak keputusan penting telah dihasilkan,” kata Rossi yang bertukar tempat dengan Quartararo dalam perjanjian tersebut.

Kebimbangan Yamaha akan kehilangan pelumba sedang meningkat naik, Quartararo kepada pasukan lain antara punca keputusan tersebut diambil.

“Biasanya saya minta Yamaha tunggu hingga Mugello kerana saya tidak puas hati dengan keputusan tahun lalu. Saya juga tidak selesa dengan motosikal dan saya tidak cukup kompetitif untuk kekal pada tahap terbaik, jadi apabila anda ada masalah seumpama ini pada usia saya, anda akan mula bertanya diri sendiri beberapa soalan.

“Apabila anda lihat kepada tarikh lahir pelumba lain, akan mula memahami bahawa anda lebih berusia tujuh tahun berbanding pelumba kedua paling tua, jadi, sebab itu, anda akan mula berfikir anda patut duduk di rumah sahaja!

“Dalam hati saya, saya percaya yang saya masih kompetitif. Sudah tentu, ia tidak sama seperti 10 atau 15 tahun lalu sewaktu saya mampu menang banyak perlumbaan dalam satu musim. Tetapi jika anda rasa tubuh anda masih sihat, motivasi akan menjadikan ia berbeza. Jadi, sebab itu saya bertukar pasukan, ketua mekanik kerana kami masih mampu bersaing untuk memburu kemenangan,” kata Rossi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button