Politik

Menantu saya bukan penjenayah, henti sasar keluarga – Kit Siang

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar menggugurkan pendakwaan terhadap menantunya, Betty Chew.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.

Katanya, kerajaan harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga.

“Namun begitu, kita perlu meletakkan had dalam situasi ini. Penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.

“Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan,”  kata Kit Siang.

Menurut Kit Siang, dia terkejut isteri kepada anaknya, Lim Guan Eng telah ditangkap oleh SPRM semalam dan akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) .

Kit Siang berkata, tindakan terhadap Betty seolah-olah beliau seorang penjahat besar di Pulau Pinang yang terlibat dalam jenayah yang dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram seperti pemerdagangan dadah, pembiayaan aktiviti keganasan dan rasuah.

“Penjenayah yang mereka sebutkan itu bukan Betty Chew yang saya kenali selama tiga dekad.

“Betty Chew yang saya kenali ialah seorang isteri yang setia dan ibu yang penyayang kepada empat cahaya matanya. Saya berbangga dengan menantu saya yang merupakan seorang peguam dan mantan Adun di Melaka sebelum bersara.

“Malah saya berbangga, meskipun menghadapi tekanan kerja, bahawa beliau masih boleh menjaga Guan Eng dan membesarkan empat orang anak cucu kesayangan saya,” kata Kit Siang dalam blognya.

Kit Siang juga berkata, mengapa ada percubaan untuk mengambarkan Betty sebagai ‘Rosmah Mansor’ kedua Malaysia.

“Saya telah mengenali Betty selama tiga dekad. Carilah di rumahnya dan anda tidak akan menemui, misalnya, 12,000 barang kemas yang terdiri daripada 2,200 cincin, 1,400 kalung, 2,100 gelang, 2,800 pasang anting-anting, 1,600 kerongsang, 14 tiara atau 423 jam tangan mewah (berjenama Rolex, Chopard dan Richard Mille)

“234 cermin mata hitam mewah (berjenama Versace dan Cartier), 567 beg tangan mewah dari 72 jenama (antaranya Chanel, Prada, Versace, Bijan, KWANPEN dan Judith Leiber), 272 beg tangan dari Hermès (beg Birkin) atau wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam 26 mata wang yang berbeza,” kata Kit Siang.

Isteri bekas Menteri Kewangan itu ditahan SPRM semalam untuk membantu siasatan berhubung kaitannya dengan sebuah syarikat swasta dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 11 Ogos.

Peguam Betty berkata, beliau mengiringi anak guamnya ke SPRM untuk merekodkan kenyataan bagi membantu siasatan SPRM mengenai penglibatan beliau dengan sebuah syarikat swasta, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

“Siasatan ini berkaitan perunding perundangan yang beliau tawarkan kepada syarikat dan ia disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button