Menanti pemimpin muda dan segar mentadbir negara
Komentar Awang Belanga
SEBAGAI wartawan yang memulakan karier pada awal 90-an, saya telah menyaksikan para pemimpin yang sedang berebut jawatan tertinggi di dalam parti dan kerajaan dewasa ini sejak zaman sekolah rendah lagi.
Kini saya sendiri sudah hampir usia pencen, para pemimpin veteran ini masih lagi menguasai landskap politik negara dan mereka telah dikitar semula berkali-kali.
Kitaran politik di negara ini masih gagal untuk keluar dari lingkungan dan cengkaman pemimpin yang sama.
Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah dua kali menjadi perdana menteri dan pada usia lanjut itu kemungkinan beliau menjadi perdana menteri buat kali ketiga tidak boleh ditolak.
Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun kini bekas perdana menteri, tetapi tetap tidak boleh diketepikan bahawa beliau juga berpotensi dipilih menjadi perdana menteri untuk kali kedua.
Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusia 70-an juga terus bersabar untuk menjadi perdana menteri.
Dalam pertemuan dengan pemimpin politik di negara ini saya sering melontarkan isu ini dan mereka sendiri mengakui hirarki parti menyebabkan pemimpin muda sukar diketengahkan.
Termasuklah parti yang baharu berusia setahun jagung iaitu Bersatu ia dikuasai oleh para pemimpin veteran yang melompat dari UMNO. Walaupun Bersatu berjaya menonjolkan muka baharu, tetapi ia masih jauh daripada menjadi pemimpin utama.
Khairy Jamaluddin yang sebelum ini pemimpin muda yang diharapkan merealisasikan aspirasi berkenaan, juga kini telah putih jambang dan masih gagal mendaki hirarki partinya sendiri iaitu UMNO dan hirarki politik negara.
Walaupun kita berbangga kerana pernah mempunyai perdana menteri yang paling tua di dunia, tetapi pada masa yang sama rakyat dahagakan pemimpin yang muda serta mempunyai idea segar.
Mungkin rantau ini belum bersedia untuk meraikan pemimpin muda untuk jawatan utama pemerintahan negara kerana jika dilihat semua negara tetangga juga diterajui oleh pemimpin veteran.
Di seluruh dunia juga hanya beberapa negara seperti New Zealand dan Australia yang mempunyai pemimpin lebih muda.
Mungkin apabila pengundi berusia 18 tahun mula mengundi, landskap itu akan berubah kerana parti politik perlu menyesuaikan diri dengan kehendak golongan muda yang bakal menjadi penentu bentuk kerajaan yang ditubuhkan. – SM