NasionalPendidikan

Memperkasa bahasa Inggeris dalam menjayakan PPSMI

Oleh Cikgu Kamarulazman Habibur Rahman

 

Bahasa Inggeris dan PPSMI
Saya terpegun membaca kenyataan yang dizahirkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengajaran Matematik dan Sains akan kembali menggunakan bahasa Inggeris. Terpegun kerana saya tidak tahu bagaimana hendak bereaksi terhadap kenyataan itu sekiranya ia menjadi kenyataan.

Pada awal perlaksanaanya dahulu, saya telah terlibat secara langsung sebagai Jurulatih Utama untuk melatih ribuan guru-guru Matematik dan Sains supaya mereka berupaya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Namun akhirnya PPSMI yang diilhamkan oleh Tun Mahathir telah dimansuhkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Setelah berbelanja besar untuk PPSMI, ia dihentikan begitu sahaja dengan alasan yang sama dengan bantahan ketika hendak memulakan program tersebut.

Pengaruh penguasaan bahasa Inggeris murid
Setelah menjadi guru Bahasa Inggeris dan pegawai SISC+ (School Improvement Specialist Coach for English Language) selama 34 tahun, saya mempunyai pengalaman yang amat luas dalam Pengajaran Bahasa Inggeris dan melihat pelbagai masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran subjek ini. Namun saya dan kemudian isteri bernasib baik kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di Manchester, England. Ini ditambah pula dengan anak-anak kami yang pernah bersekolah di sana. Malahan salah seorang daripada mereka menghabiskan keseluruhan persekolahan menengahnya di sana. Oleh itu saya mendapat pengalaman secara langsung bagaimana Bahasa Inggeris diajar di sana.

Pada hemat saya, bagi menjayakan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, kita perlu memperkasa Bahasa Inggeris secara menyeluruh. Jika pelajar sudah berjaya menguasai bahasa Inggeris, pasti mereka tidak mempunyai masalah untuk belajar dua matapelajaran ini dalam bahasa Inggeris. Jadi apakah yang menjadi penghalang sebenar?

Meruntuhkan tembok penghalang
Ketika dalam lawatan sekolah rendah sebagai pegawai SISC, saya dapati guru amat bimbang dengan UPSR. Fokus utama mereka ialah UPSR dan benarlah segalanya berorientasikan peperiksaan. Perhatian mereka tertumpu untuk meluluskan murid murid mereka dalam bahasa Inggeris dan bukannya memastikan murid murid ini boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa kedua ini. Dengan itu guru di peringkat awal lagi mengetepikan soal penguasaan tetapi menjurus ke arah mendapat A bagi mereka yang berkebolehan dan sekurang kurangnya lulus bagi mereka yang tidak mahir. Guru meninggalkan kaedah menyediakan murid berbahasa tetapi melalui jalan mekanikal yang sangat singkat supaya keputusan UPSR mereka tidak dipertikaikan. Kelas Bahasa Inggeris dipenuhi dengan kertas lampiran tugasan yang tidak menyeronokkan. Itulah sebabnya ramai dalam kalangan murid murid yang mendapat A dalam UPSR masih tidak boleh bertutur dan menulis dengan baik ketika masuk ke tingkatan satu. Guru sekolah rendah dan menengah saling menyalahkan satu sama lain mengenai kemampuan murid berbahasa Inggeris ini.

Mendidik minda dan melerai persepsi
Saya pernah menegur guru guru Bahasa Inggeris tahun 6 dalam satu seminar yang saya anjurkan di PPD. Apabila saya menyatakan bahawa kelas Bahasa Inggeris sepatutnya meriah, ceria dan penuh dengan kegembiraan, salah seorang guru menjawab “Tapi kami mengajar tahun 6 yang akan menduduki UPSR. Kami tidak boleh lakukan itu semua.” Saya lalu menjawab “Kerana mereka di tahun 6 dan akan menduduki UPSR lah, anda semua perlu menceriakan mereka dengan pengajaran dan pembelajaran yang menarik kerana sudah tentu mereka dalam tekanan.” Namun saya mengerti keluh kesah guru-guru Bahasa Inggeris yang menghadapi cabaran yang amat besar kerana subjek Bahasa Inggeris sering menjadi penghalang kepada murid untuk mendapat semua A.

Cubalah bertanya kepada guru Bahasa Inggeris tentang kekangan yang mereka hadapi dalam mengajar subjek ini dan pasti kita akan mendengar ada dalam kalangan mereka yang memberi alasan bahawa ‘murid tidak mempunyai pengetahuan asas dalam Bahasa Inggeris.’ Namun guru tidak sedar bahawa antara tugas utama mereka adalah memupuk pengetahuan ini kerana murid tidak dapat melakukannya di rumah. Jadi apakah peranan guru untuk meng’adakan’ yang ‘tiada’?

Saya juga amat bimbang dengan langkah guru Bahasa Inggeris yang suka mengambil jalan singkat apabila suka menggunakan dwi bahasa semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Selalunya guru akan menerangkan maksud perkataan atau ayat dalam bahasa Melayu. Ini tidak membantu murid. Sepatutnya murid diajar memahami maksud perkataan melalui ekspresi guru atau pengalaman mereka.

Guru sendiri perlu kreatif. Saya masih ingat bagaimana anak-anak murid begitu berminat dengan ‘story time’ yang diamalkan di sekolah Manley Park Primary School di Whally Range, Manchester. Murid murid akan berlari untuk duduk mengelilingi guru yang bercerita dengan ekspresi wajah yang mengkagumkan.

Jumlah murid dalam satu kelas memburukkan keadaan
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh para guru ialah jumlah pelajar yang terlalu ramai di dalam satu kelas. Adalah perkara biasa melihat lebih 30 orang murid dalam satu kelas. Ini menyukarkan guru untuk menangani masalah pembelajaran setiap murid kerana setiap murid mempunyai masalah yang berbeza. Tumpuan guru pada murid secara individu adalah amat sukar kerana waktu setiap matapelajaran cuma 30 minit atau satu jam sahaja.

Masalah jumlah pelajar yang besar dalam satu kelas boleh diimbangi dengan guru pembantu seperti negara maju. Ketika guru A mengajar, guru pembantu akan membantu murid untuk mengikuti pelajaran sebaik mungkin agar tiada seorangpun murid yang akan tercicir. Malangnya ini tidak berlaku di Malaysia kerana kita memang tidak mempunyai guru yang mencukupi. Saya ingin melihat wujudnya pembantu guru semasa subjek Bahasa Inggeris berjalan di dalam bilik darjah di Malaysia.

Soalan peperiksaan tidak membantu
Masalah seterusnya ialah soalan UPSR yang tidak membantu murid murid ke arah penguasaan yang diinginkan. Cuba lihat pada soalan penulisan contohnya. Apakah dengan soalan yang diajukan dalam UPSR memungkinkan murid untuk mahir dalam Bahasa Inggeris? Saya yakin tidak. Soalannya terlalu mekanikal dan tidak mesra kehidupan sebenar. Memburukkan lagi keadaan ialah membunuh kebolehan murid dengan menghadkan karangan dengan arahan seperti “karangan anda tidak lebih daripada 80 patah perkataan” pada soalan B dan “tidak melebihi 100 perkataan pada soalan C. Ini menjadikan murid yang mahir menjadi bosan kerana mereka tidak dibenarkan menerokai kebolehan kreatif mereka di usia muda lagi. Apakah setelah bersekolah selama 6 tahun di sekolah rendah, murid hanya layak menulis 80 atau 100 perkataan sahaja?

Saya ingin berkongsi pengalaman anak saya yang bersekolah di England. Dia mempunyai dua jenis kelas Bahasa Inggeris. Satu ialah kelas Bahasa Inggeris biasa dan satu lagi ialah kelas Bahasa Inggéris untuk penulisan kreatif. Mungkin itu sebabnya ramai penulis handalan lahir di England. Malangnya kita menyuruh murid kita jangan menulis lebih daripada 80 perkataan? Apakah ini langkah betul dalam menerokai pendidikan abad 21?

Menteri dan Pendidikan
Pada pandangan saya seseorang yang hendak dilantik menjadi Menteri Pendidikan perlu dilantik dalam kalangan guru sendiri. Hanya seorang guru sahaja yang boleh memahami citarasa dan kehendak anak anak terhadap pendidikan. Itu sebabnya saya berasakan bahawa Dato’ Seri Mahdzir Khalid merupakan seorang Menteri Pendidikan yang sangat terkehadapan dalam pendidikan. Setiap kali beliau melawat guru guru di Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara, beliau berjaya mengupas intipati dasar dasar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dengan begitu berkesan sekali. Pengalamannya yang luas sebagai guru dan pengetua sekolah amat berguna sekali. Pendidikan di Malaysia bergerak maju tanpa sebarang isu di bawah Mahdzir Khalid. Simpati saya terhadap Mazlee Malik yang walaupun pendidik tetapi tidak mempunyai pengalaman mengajar di sekolah. Dengan itu beliau terkeliru dengan perkara yang sepatutnya diutamakan. Kurangnya pengalaman Mazlee menyebabkan beliau berada dalam situasi yang sukar dan saya juga turut hairan tentang peranan para penasihatnya. Pendidikan tidak boleh dicampur aduk dengan politik.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, saya berpendapat bahawa tidak ada beza sama ada Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu. Namun sebagai seorang pegawai Bahasa Inggeris saya ingin melihat ianya diajar dalam bahasa Inggeris. Untuk itu, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris perlulah di landasan yang betul sebaik sahaja seseorang murid itu menjejakkan kaki di sekolah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button