Berita

Membaca juga terapi penyembuh penyakit

Amalan membaca bukan sahaja boleh menambah ilmu, tetapi ianya juga satu terapi yang boleh menyembuhkan penyakit. ‘Biblioterapi’ ialah satu bentuk terapi yang menggunakan buku sebagai bahan untuk membantu individu yang berdepan dengan isu psikologi, sosial dan emosi. Walaupun ‘Biblioterapi’ tidak membantu menyembuhkan masalah psikologi sepenuhnya, namun melalui pemilihan bahan bacaan yang bersesuaian ianya mampu membantu mengurangkan tekanan.

Membaca juga menggalakkan seseorang itu berfikir. Ia merupakan satu aktiviti yang produktif dan sangat baik untuk kesihatan mental. Ia boleh meningkatkan empati, menajamkan fikiran dan memberi kesan positif kepada tingkah laku.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri aktiviti kayuhan berbasikal ‘Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia’ peringkat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang dianjurkan bersama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar kawasan Jejawi dekat Kangar.

Program amal tersebut disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 26 bagi tahun 2021’.

Dalam pada itu Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis Azizi Janan memaklumkan, ‘Bagi membantu rakyat di negeri Perlis membudayakan pembacaan sebagai satu amalan dan terapi, 5 buah Perpustakaan Cawangan dan 36 buah Perpustakaan Desa di negeri ini akan dilengkapkan dengan 5 unit tablet Samsung A7 untuk kegunaan pengguna bagi mengakses kandungan digital dan online. Diharap dengan adanya tambahan peranti 5 unit tablet di setiap perpustaaan, ianya akan memberi impak yang positif kepada masyarakat Perlis dalam membudayakan membaca’.

Untuk rekod, Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia adalah satu acara tahunan yang disambut pada setiap 23 April yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan tujuan untuk menggalakkan minat membaca, penerbitan dan hak cipta. Hari Buku & Hakcipta Sedunia mula disambut pertama kalinya pada 23 April 1995 iaitu 26 tahun yang lalu.

Setiap tahun pada sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, UNESCO akan memilih sebuah Ibu Kota Buku Dunia (World Book Capital) yang mana Kuala Lumpur telah dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia untuk tahun 2020, tapi sayangnya negara kita berada dalam pandemik Covid-19. Segala perancangan hebat untuk menyemarakkan sambutan tersebut tergendala dan tidak dapat diadakan secara bersemuka, namun ianya bukan penghalang kerana terdapat aktiviti yang berjaya dijalankan secara atas talian. Pada tahun ini, Tblisi, Georgia pula telah dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia.

Ibu Kota Buku Dunia mula diperkenalkan oleh UNESCO pada tahun 2001 dan bandaraya Madrid, Sepanyol telah diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku pertama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button