Politik

MKT UMNO yakin ahli patuh keputusan babitkan Kerajaan PN

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO yakin segala keputusan yang bakal diambil berkaitan kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perikatan Nasional akan diterima oleh semua ahli.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan Sufian Hamdan berkata, MKT UMNO juga percaya segalan tindakan tersebut juga akan dipatuhi oleh pemimpin parti itu dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional.

“Sebarang ketetapan berkenaan kelangsungan pembabitan UMNO dalam Kerajaan PN pula akan diputuskan atas semangat musyawarah.

“Apabila keputusan itu diambil, MKT yakin bahawa semua ahli parti termasuk yang menjadi anggota Kerajaan hari ini akan mematuhinya, sekaligus mempamerkan kesatuan tindakan dalam parti,” beliau mengulas keputusan Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung semalam.

Jelas beliau, keputusan mesyuarat tersebut diambil atas semangat musyawarah dan bijaksana bagi memperjuang agenda rakyat dan parti.


Shahril Sufian berkata, keputusan mesyuarat MKT tersebut mengutamakan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan hasrat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sejurus setelah situasi Covid-19 terkawal.

Antara keputusan utama mesyuarat adalah menggesa agar Parlimen dan DUN dibuka terlebih dahulu supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asalnya.

MKT berpendapat segala urusan pentabiran menjadi tergendala selagi Parlimen ditutup dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak dan imbang.

“Jangankan soal membuktikan keabsahan majoriti Kerajaan PN, sedangkan bersidang pun tidak. Jangankan hendak melulus perbelanjaan, sedangkan bersidang pun tidak.

“Jika ada hujah mahu mengadakan pilihanraya kelak sebagai jalan keluar dari kemelut politik, itupun tidak mampu berlaku selagi Parlimen tak bersidang dan darurat terpakai,” katanya.

Menurut Shahril Sufian, UMNO percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala, prinsip akauntabiliti dikesampingkan maka selagi itu pelabur menjauhi, ekonomi hambar akibat pembuatan dasar negara tidak terurus seperti sediakala.

Mengulas mengenai keputusan berkaitan pemilihan parti, UMNO sekali lagi mengambil pendekatan komprehensif dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh.

MKT katanya, memutuskan untuk mendapat panduan dari pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik pelaksanaan pemilihan parti mengambilkira kekangan prosedur operasi standard Covid-19.

Mesyuarat MKT UMNO semalam memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Perdaftaran Pertubuhan dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara bagi meminta nasihat dan garis panduan untuk melakukan pemilihan parti tahun ini.-SM

 

 

(Visited 58 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button