Memang Dhan Bahadur yang mati
POLIS Kuala Lumpur memaklumkan terdapat beberapa bukti seperti dokumen dan keterangan saksi yang mengesahkan kematian seorang tahanan warganegara Nepal bernama Dhan Bahadur pada 31 Mei lalu.
Perkara itu bercanggah dengan laporan portal FMT pada semalam yang melaporkan bahawa Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur menafikan kematian tersebut melibatkan rakyatnya.
Malah, siasatan pihak kedutaan juga mendapati Bahdur yang sebelum ini pernah bekerja di Malaysia masih lagi hidup dan berada di Nepal.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa telah membuat akuan secara lisan yan namanya ialah Dhan Bahadur ketika dia ditahan pada 27 Mei lalu.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dikemukakan si mati dan pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dibuat kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Setelah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Sentul, si mati telah menyerahkan salinan dokumen pasport
atas nama Dhan Bahadur (nombor pasport 06658995) kepada pegawai penyiasat dan gambar yang tertera dalam salinan pasport adalah sama dengan wajah si mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mazlan, keterangan dan dokumen si mati mengesahkan namanya sebagai Dhan Bahadur yang telah tinggal di Malaysia sejak 12 tahun yang lalu.
Jelasnya, rakan serumah si mati yang ditahan bersama ketika itu telah mengesahkannya sebagai Dhan Bahadur dan mereka juga memanggilnya dengan nama yang sama.
“Kita akan beri keterangan berkaitan perkara ini kepada Kedutaan Nepal pada 18 Jun depan.
“Pegawai penyiasat juga telah menghantar butir-butir milik si mati untuk semakan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 28 Mei lalu dan masih menunggu hasil semakan,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini bolehlah menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. -SM