fbpx
Mahkamah

16 keping cek Bank CIMB Islamic Ekares tidak mencurigakan – Saksi ke-69

Kes perbicaraan Ahmad Zahid

SAMBUNG bicara kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyaksikan 26 orang saksi tampil memberi keterangan bertulis masing-masing sejak Isnin hingga hari ini.

Saksi di sebelah petang yakni yang ‘terakhir’ untuk hari ini ialah isteri pengurup wang, Omar Ali, Kamarunisah Ahmad Shah.

Sebagai saksi ke-69, Kamarunisah, 48, juga pengarah syarikat Ekares Sdn. Bhd., diminta untuk mengesahkan 16 keping cek yang dimasukkan ke akaun CIMB Islamik Ekares Sdn. Bhd.

Cek-cek berkenaan bernilai antara RM150,000 sehingga RM500,000 kesemuanya dibayar kepada Lewis&Co.

Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong, Kamarunisah berkata, dia tidak tahu siapakah individu yang memasukkan wang ke dalam akaun Ekares Sdn. Bhd.


Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong: Lihat kepada perenggan 10. Soalan lanjutan, apakah yang dimaksudkan dengan menggunakan wang yang diterima oleh suami saya…individu yang tidak dikenali dan dimasukkan ke dalam akaun Ekares Sdn. Bhd.

Saksi: Memang saya tidak tahu dari mana suami dapat wang ini dan masuk ke akaun Ekares. Memang saya tidak tahu duit ini masuk dari mana. Saya hanya sain cek.

Timbalan Pendakwa Raya Haris Ong: Apa status syarikat Ekares Sdn. Bhd.

Saksi: Ekares tidak menjalankan apa-apa kegiatan. Domain company. Saya ikut arahan suami saya. Status syarikat? Saya tidak tahu apa-apa. Status akaun bank syarikat Ekares, saya tidak tahu.

Kamarunisah mengakui cek-cek ditandatangani oleh beliau namun tidak tahu, siapakah yang meletakkan cop di belakang cek walaupun cek-cek tersebut ada cop Lewis&Co dan nombor akaun.

“Saya tidak tahu siapa letakkan cop di belakang cek, saya tak tahu dan tak kenal tulisan tangan kecuali tandatangan sendiri. Itu saya cam.

“Ya, bank ada call untuk 16 keping cek untuk sahkan tandatangan dan sahkan kepada siapa cek itu dibayar. Jawapan saya kepada bank, boleh bayar,” ujar Kamarunisah.

Haris Ong menyoal saksi, kalau boleh bayar, Puan tahu ke ada duit sebanyak itu dalam akaun Ekares?

“Tidak tahu. Hanya sahkan sahaja,” jawab Kamarunisah.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Kamarunisah memberitahu mahkamah suaminya bekerja sebagai Pengurup Wang tetapi dia tidak terlibat dalam perniagaan suaminya itu.

“Sejak berkahwin dengan Omar Ali pada tahun 1992, Omar Pengurup Wang atau dalam Bahasa Inggeris, Money Changer.

“Ya, saya kenal Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana kami satu kampung. Keluarga, bapa saya dan arwah pakcik saya kenal Datuk Seri Ahmad Zahid, famili kiai,” katanya.

Saksi turut diminta oleh Haris Ong untuk berapa rapat hubungannya dengan tertuduh (Ahmad Zahid) dan diminta menggambarkan kepada mahkamah keakraban.

Kamarunisah mengambil masa yang agak lama,  termenung dan meraut wajahnya untuk menjawab soalan timbalan pendakwa raya sambil dia diberikan contoh, tidur di rumah Ahmad Zahid.

“Berapa rapat hubungan saya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid? Tidaklah  sampai tidur rumah. Saya mengenali Datuk Seri Ahmad Zahid kerana beliau ahli politik.

“Bapa saya yang mengenali Datuk Seri Ahmad Zahid kerana kami sekampung. Tapi tak tidur rumah Datuk Seri Ahmad Zahid.

“Saya juga sebagai pengundi bahkan saya mengenali Datuk Seri Ahmad Zahid sebelum beliau masuk politik. Beliau beli roti canai bapa saya dan beliau berurusan dengan arwah pakcik saya,” kata Kamarunisah.

Diasak dengan soalan lagi oleh Haris Ong, berapa kerap berjumpa dengan Ahmad Zahid, berikut jawapan Kamarunisah:

Saksi: Saya jumpa Datuk Seri Ahmad Zahid jika ada sambutan hari raya. Kalau dijemput. Tapi tahun ini tidak adalah sebab COVID-19.

Saksi: Kalau ada open house atau rumah terbuka, selalunya Hari Raya Aidilfitri, dijemput, saya pergi bersama suami, Omar Ali. Hari Raya Haji, tidak adalah.

Saksi: Saya tidak ada apa-apa urusan dengan tertuduh (Ahmad Zahid) dan saya tidak tahu jika Omar Ali ada urusan peribadi atau perniagaan dengan tertuduh.

Saksi: Saya tidak rasa curiga dengan transaksi cek dikeluarkan, saya tidak ragu kerana saya percaya apa yang suami saya buat.

Peguam bela Ahmad Zahid, Hamidi Mohd. Noh dalam pemeriksaan balasnya ke atas saksi mengemukakan soalan pendek:

Hamidi: Saya cadangkan kesemua jumlah wang, 16 keping cek, wang sumbangan-sumbangan.

Saksi: Saya tidak faham

(Hamidi ulang soalan)
Saksi: Ya, donations.

Hamidi: Pembayaran dari Ekares kepada Lewis&Co melalui cek dan direkodkan. Setuju dengan saya.

Saksi: Ya.

Hamidi: Semua transaksi direkod boleh dikesan semula.

(Saksi menganggukkan kepala tanda setuju) (Saksi ditegur supaya memberi jawapan secara oral untuk dirakamkan dan Hamidi ulang semula soalan yang sama; Semua transaksi cek direkod, boleh dikesan.)

Saksi: Ya. Betul

Hamidi: Tidak ada apa-apa yang salah dari Ekares kepada Lewis&Co

Saksi: Ya

Hamidi: Disebabkan ada rekod, tidak ada apa-apa yanjg tersembunyi

Saksi: Ya

Hamidi: Lewis&Co sebuah firma guaman

Saksi: Saya tak tahu

Hamidi: Saya cadangkan Lewis&Co boleh bertindak sebagai pemegang amanah (trustee)

Saksi: Ya

Hamidi: Saya cadangkan pada Puan, Lewis&Co, pemegang amanah (trustee) Yayasan Akal Budi

Saksi: Ya

Timbalan Pendakwa Raya membuat pemeriksaan semula:

Haris Ong: Bagaimana Puan boleh setuju dengan Peguam, semua cek adalah sumbangan-sumbangan
(Saksi terdiam)

Haris Ong: Apa yang Puan faham dengan sumbangan atau derma? Bahasa Inggerisnya, donation.
Saksi: Sumbangan itu derma. Bagi pada orang miskin. Ikhlas.

Haris Ong: Kenapa Puan setuju?

Saksi: Saya minta maaf sebab saya tidak faham. Tanya ‘cadangan’. Patut saya cakap tak tahu. Dalam pemikiran saya, ingatkan benda tu sumbangan. Tak tahu sebab tak faham. Saya kata tadi, kata ‘cadangan’ Lewis&Co trustee kepada Yayasan Akal Budi. Saya tidak tahu kegiatan Lewis&Co dan Yayasan Akal Budi.

Kamarunisah kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa dia tidak faham soalan peguam.

Perbicaraan bersambung esok. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button