Memahami kesulitan ekonomi di kalangan rakyat Kelantan, Qayra Beauty hulur bantuan
PENGELUAR produk kecantikan terkemuka Qayra Beauty menyalurkan bantuan dalam program CSR, membantu lebih 300 penerima bantuan keperluan harian kepada golongan kurang bernasib baik di Kelantan.
Menurut pengasas Qayra Beauty Empire, Noor Faqirah Abdullah, 29, pihaknya bercadang untuk mengadakan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali setahun setelah penganjurannya buat kali pertama pada Oktober 2023.
“Kita bajet hari ini untuk bantuan keperluan harian bagi 300 orang seperti pampers, beras, dan barangan keperluan lain. Selalunya bajet adalah untuk 300 orang, tetapi yang datang selalunya lebih 400 hingga 500 orang. Jadi, yang lebih itu yang tak dapat barangan keperluan harian seperti orang lain, mereka akan diberikan duit tunai RM50 setiap seorang,” ujar Faqira.
Antara yang menerima sumbangan ini adalah dari serata daerah seperti Kota Bharu, Pasir Puteh, Pengkalan Kubur, Tumpat, dan Besut. Sehingga kini, mereka membelanjakan lebih kurang RM30,000 bagi tujuan kebajikan, malah membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin Qayra Beauty Empire untuk bersama-sama memberikan sumbangan.
Pengeluar produk kecantikan terkemuka Qayra Beauty sehingga kini memiliki 8,000 usahawan dan yang menyertai program CSR kali ini adalah seramai 25 pemimpin terdiri dari Putrajaya, Bachok, Machang, Kota Bharu, Ketereh, dan beberapa daerah lain.
Memahami kesulitan ekonomi yang dialami masyarakat selepas kenaikan harga barangan, pengasas produk ini mahu mengadakan program sumbangan barangan keperluan dengan memberi fokus kepada orang sekeliling.
“CSR ini fokus untuk membantu orang sekeliling memandangkan keadaan ekonomi sekarang dengan harga barangan yang naik mendadak. Tengok harga pampers pun naik banyak, dulu harga berbelas ringgit saja bagi bahan asas itu selain keperluan asas lain yang diperlukan. Semestinya tumpuan diberikan kepada yang betul-betul susah kerana orang yang tidak berduit akan rasa barangan itu terlalu bernilai dan berharga,” ujarnya ketika ditemui media dalam program CSR bersama Qayra Beauty di Kota Bharu, Kelantan. Pihaknya juga berhasrat berkongsi rezeki yang diperoleh menerusi jualan dengan menggunakan sebahagian pulangan dan menyalurkannya kepada orang ramai.
Selain itu, beliau juga banyak memberikan sebahagian hasil jualan bagi membantu sekolah tahfiz seperti bayaran bil elektrik, van, dan sebagainya.
Namun jelasnya, tidak semua perlu diwar-warkan; yang penting adalah sentiasa memberi.
Artikle Berkaitan :>
VFive Group santuni aspek keberkatan, konsisten tingkatkan sumbangan CSR bagi tahun 2024