Rencana

Melayu-Islam terancam?

Apabila menerima tawaran untuk menjadi Ketua Pengarah J-KOM, hasrat saya cuma satu: saya mahu membantu PM membangunkan negara ini.

Saya gembira apabila PM mengumumkan wawasannya Malaysia Madani. Malaysia Madani mengangkat kemampanan, kesejahteraan, masyarakat yang inovatif, saling menghormati, keyakinan, dan keihsanan. Saya yakin wawasan PM ini akan mampu membina peradaban bangsa kita yang hebat.

Namun, sebulan setengah di sini, saya sedih dengan isu yang dimainkan pihak oposisi.

Saya memandang serius naratif Melayu-Islam terancam ini. Apa yang terancam pun saya sendiri kabur. Apakah betul-betul terancam atau sengaja ditimbulkan oleh pihak oposisi untuk menunjukkan PM lemah dan kerajaan ini lemah?

Saya ingat di bawah kerajaan dahulu, PH dilemahkan dengan isu Adib, gereja, Jawi, ICERD, Statut Rom, kitab Injil dan lainnya. Kini, isu yang sama muncul lagi. Muncul kembali isu gereja, kerajaan zalim, Kristianisasi, LGBT, mentega terbang, dan parti oposisi dimandulkan.

Saya sedih. Gerak kerja pelaksanaan gagasan Malaysia Madani terganggu kerana isu-isu ini.

J-KOM banyak duit? Bajet 2023, J-KOM diperuntukkan RM18.692 juta sahaja untuk urusan emolumen, pengurusan, dan program.

Banyakkah jumlah ini berbanding dengan peruntukan untuk JASA dan J-KOM sebelum ini? J-KOM ditadbir mengikut semua prosedur kerajaan, baik itu dalam perbelanjaan, operasi dan perjawatannya.

Saya membodek PM? Untuk apa saya bodek? Saya tidak bodek sesiapa tetapi mempertahankan PM kerana saya faham hasrat PM untuk membawa reformasi kepada negara yang bertuah ini.

Ini yang saya mahu, tetapi bagaimana PM boleh tumpukan kepada tugasnya jika setiap hari kita bermain dengan sentimen dan emosi perkauman.

Baca juga: “Kalau cuba nak rampas, silakan.. kita siap dengan keris,” – Anwar Ibrahim

Kelmarin, hati saya terubat apabila PM tegas menyatakan jangan ugut beliau dengan naratif yang boleh menghuru harakan negara. KPN juga bersuara kelmarin. Dan hari ini pengerusi SKMM memberikan amaran tegas akan mengambil tindakan kepada posting-posting yang menggugat keharmonian negara.

Saya boleh menerima perbezaan pendapat. Tetapi janganlah sampai ke tahap fitnah, memburukkan peribadi, dan mengancam ketenteraman negara. Janganlah sampai ke tahap hidup kita tidak harmoni. Islam tidak mengajar kita begitu.

Saya mohon agar berilah kerjasama kepada kerajaan untuk melaksanakan tugasnya. Berilah juga ruang kepada J-KOM untuk turun ke lapangan menyantuni rakyat dan menyebarkan wawasan baik tentang Malaysia Madani ini.

Ada dakwaan, biarlah sistem kehakiman mengadilinya. Kita negara undang-undang. Yakinlah kepada institusi negara kita kerana negara kita perlu ke depan untuk mensejahterakan rakyat.

Betulkah Melayu-Islam terancam? Saya tidak melihatnya begitu. Yang jelasnya, kitalah yang mengancamnya hanya kerana perbezaan politik.

DATO’ DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Ketua Pengarah J-KOM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button