Ekonomi

KWSP jadi permainan politik, Kerajaan beri RM500 untuk pelaburan masa depan – Anwar

Disebabkan ramai yang carumannya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tinggal tidak sampai RM10,000, Kerajaan mengambil langkah prihatin dengan memberikan RM500.

Ujar Perdana Menteri, mungkin pada pandangan segelintir pihak, nilai RM500 itu seperti tidak memberi apa-apa impak namun untuk tempoh menuju waktu persaraan, sebenarnya banyak manfaat.

“Saya boleh popular dan membenarkan pengeluaran KWSP, tetapi adakah seorang yang bertanggungjawab boleh berbuat demikian?

“Sebab itu kita kena cari jalan lain dengan menambah bonus, elaun dan bantuan kepada pekebun serta nelayan…semua ini kita buat untuk meringankan beban rakyat,” katanya ketika sesi soal jawab terbuka bersama belia yang diadakan julang kalinya di program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Program yang dikendalikan pelakon, Amelia Henderson itu turut menampilkan kumpulan rock Bunkface yang mempersembahkan lagu rasmi Malaysia Madani.

Anwar berkata, tindakan kerajaan memberikan RM500 kepada pencarum yang mempunyai simpanan RM10,000 ke bawah adalah bagi membolehkan wang itu dilabur KWSP.

Katanya, pemberian RM500 itu akan memberi dividen dan wang tambahan kepada simpanan persaraan pencarum.

“Sebab itu saya ambil keputusan bagi RM500 kepada mereka yang mempunyai simpanan RM10,000 ke bawah… ia akan memberi maanfat, walaupun bukan hari ini, tetapi ketika bersara esok, tiga atau empat tahun.

“Tak ramai sebenarnya yang mendesak, hanya sebilangan kecil, tetapi kerana dijadikan isu politik, ia menjadi besar,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar melihat pengeluaran caruman KWSP akan memberi kesan kepada dana pelaburan negara.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan perlu mencari jalan lain bagi meringankan beban rakyat dalam usaha memastikan dana pelaburan negara itu tidak terjejas.

Terdahulu, pada sesi soal jawab terbuka itu, lebih 8,000 belia diberi peluang bertanya terus kepada Anwar bagi mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pemerkasaan belia.

Sebaik saja program itu bermula, Anwar memberi jaminan kerajaan tidak akan bertindak ke atas sesiapa pun kerana memberi pandangan.

Katanya, kerajaan akan terus melindungi hak bersuara rakyat selagi tidak menyentuh soal kaum dan agama serta memecah belahkan masyarakat.

“Untuk anak muda, kita anjurkan pemikiran terbuka dan kritis, bukan nak latih orang nak jadi pentaksub.

“Negara boleh rosak kalau kita jadi pengikut bebal yang tidak boleh berfikir, hanya tunduk kepada arahan,” katanya.

(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button