Nasionalpilihan

Melaka intai peluang perkenal sektor pelancongan kesihatan ke negara lain

Melaka mengintai peluang untuk memperkenalkan sektor pelancongan kesihatan sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari luar negara lain selain Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni Warisan dan Warisan dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, berdasarkan sambutan daripada rakyat Indonesia yang menjadikan Melaka sebagai destinasi untuk mendapatkan rawatan kesihatan, tidak mustahil Melaka mampu meninjau peluang tersebut ke beberapa negara lain.

Menurutnya, berdasarkan kempen promosi di Dubai dan Filipina baru-baru ini yang disertai oleh wakil dari hospital swasta di negeri ini menunjukkan sambutan yang amat mengalakkan.

“Justeru, sektor pelancongan kesihatan di Melaka sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menarik minat pelancong dari negara lain selain Indonesia.

“Apa yang penting, kita perlu mempertingkatkan promosi Melaka sebagai destinasi pelancongan kesihatan untuk menarik minat pelancong dari negara lain,” ujarnya dalam sidang akhbar pada majlis sambutan penerbangan pertama pesawat Wings Air dari Pekan Baru ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni Warisan dan Warisan dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP), Sa’ari Basiron.

Abdul Razak berkata, penerbangan pertama Wings Air hari ini menyaksikan 85 peratus daripada 60 penumpang yang tiba di sini adalah untuk mendapatkan rawatan perubatan di beberapa hospital swasta di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berharap dapat memupuk kerjasama strategik dengan lebih ramai peneraju industri dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti kepada pesakit antarabangsa dan meningkatkan sektor pelancongan itu.

“Justeru, kami mengalu-alukan lebih banyak hospital swasta untuk beroperasi di sini dalam usaha mewujudkan industri pelancongan kesihatan di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata, tahun ini sasaran 8.4 juta pelancong melawat negeri ini dan sebahagian adalah daripada pelancong dalam sektor pelancongan kesihatan.

Dalam pada itu Abdul Razak berkata, kerajaan negeri berbesar hati kepada syarikat Penerbangan Wings Air yang menjadikan LTAM apabila memperkenalkan laluan penerbangan Melaka-Pekan Baru, Indonesia menggunakan pesawat ATR-72.

Katanya, penerbangan itu diadakan setiap hari dengan tawaran harga RM235 bagi satu perjalanan merupakan berita baik buat rakyat di negeri ini, Negeri Sembilan dan Johor. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button